fb fb fb fb fb

Menteri Luar Ghana, Setiausaha Agung Negara Komanwel baharu

Menteri Luar Ghana, Shirley Ayorkor Botchwey dilantik sebagai Setiausaha Agung Negara Komanwel yang baharu/ AFP

SAMOA, 26 Oktober- Menteri Luar Ghana, Shirley Ayorkor Botchwey dilantik sebagai Setiausaha Agung Negara Komanwel yang baharu.

Pelantikan tersebut dibuat semasa sidang kemuncak pertubuhan 56 negara itu di Samoa yang dijangka memberi tumpuan kepada perubahan iklim.

Botchwey merupakan antara tiga calon yang bersaing bagi jawatan itu, yang kesemuanya menyokong gesaan agar Britain menangani legasi penjajahan dan perhambaan.

Beliau telah menjadi menteri luar sejak tujuh tahun lalu, terutamanya dalam perwakilan Ghana menerusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), yang berakhir pada Disember 2023.

Beliau turut menyokong penggubalan perjanjian perdagangan bebas dalam kalangan negara-negara anggota Komanwel.

Berdasarkan konvesyen, pemilihan dibuat secara bergilir antara empat blok geografi merangkumi blok Pasifik, Asia, Eropah dan Afrika.

Setiausaha Agung Komanwel boleh berkhidmat selama dua penggal maksimum, dengan tempoh empat tahun setiap penggal. Penyandangnya ialah Baroness Dominican Patricia Scotland.

"Sungguh terharu dengan sokongan padu Ketua Kerajaan Komanwel dalam memilih saya sebagai Setiausaha Agung Komanwel yang akan datang," tulis Botchwey di media sosial.

"Kerja adalah keutamaan", katanya.

Komanwel menggalakkan tadbir urus demokratik, kerjasama dalam perdagangan, pendidikan, advokasi iklim dan ketelusan sistem kewangan.

Ia diketuai oleh Raja Charles III, namun Setiausaha Agung bertanggungjawab untuk melaksanakan sekretariat yang berpangkalan di London.

ROSLINA BINTI DIN