fb fb fb fb fb

Malaysia kutuk serangan tentera Israel di Nablus

(Wisma Putra/ Foto fail)

PUTRAJAYA, 26 Februari - Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan tentera Israel di Nablus pada Rabu yang membunuh sekurang-kurangnya 11 penduduk Palestin dan mencederakan lebih 100 yang lain.

Wisma Putra dalam kenyataannya menyebut, perbuatan keji itu jelas merupakan jenayah terhadap kemanusiaan dan pelakunya perlu dipertanggungjawabkan. 

Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa supaya bertindak terhadap keganasan dan kekejaman berterusan yang dilakukan oleh tentera rejim Israel di wilayah Palestin yang diduduki.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) khususnya mesti memenuhi tanggungjawab yang diamanahkan di bawah piagam PBB. 

(Orang ramai mengusung jenazah rakyat Palestin yang terkorban sebelum ini dalam serangan
tentera Israel di bandar Nablus, Tebing Barat/AFP)

Rakyat Palestin juga berhak mendapat keamanan, keselamatan dan keadilan.

Dalam serangan pada Rabu, tentera Israel menyasarkan sebuah rumah di Kota Lama Nablus, selain menyerang penduduk Palestin yang membantah serbuan itu dengan peluru dan gas pemedih mata.

Antara yang menjadi mangsa, seorang lelaki berusia 66 tahun dan kanak-kanak.

Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, sejak awal tahun 2023, tentera Israel telah membunuh 62 rakyat Palestin.

Media Baharu