fb fb fb fb fb

Kapal angkasa Rusia berlabuh di ISS ganti kapsul rosak

(Kapsul Soyuz berlabuh dengan Stesen Angkasa Antarabangsa selepas
perjalanan dua hari dari Baikonur, Kazakhstan/AFP)

MOSCOW, 26 Februari- Kapsul Soyuz Rusia tanpa kru berlabuh awal Ahad di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dan akan membawa pulang tiga angkasawan yang kenderaan pulang mereka rosak akibat meteoroid kecil.

Video langsung daripada rakan kongsi ISS NASA menunjukkan, kapal angkasa MS-23 dirapatkan secara autonomi ke makmal penyelidikan yang mengorbit, melengkapkan perjalanan dua hari Soyuz selepas dilancarkan dari Kazakhstan.

Ia dijangka membawa pulang angkasawan Amerika Syarikat, Frank Rubio serta angkasawan Rusia, Dmitry Petelin dan Sergei Prokopyev pada bulan September.

Ketiga-tiga mereka tiba di ISS September lalu dengan menaiki MS-22, dan sepatutnya tinggal hanya kira-kira enam bulan, sehingga akhir Mac.

(FOTO NASA)

Tetapi penyejuk (coolant) kapsul mereka mula bocor pada pertengahan Disember selepas terkena batu angkasa kecil.

Roscosmos, agensi angkasa lepas Rusia, memutuskan untuk menghantar MS-23 bagi menggantikan kapal yang rosak itu, tetapi tanpa tiga anak kapal yang sepatutnya dihantar bersama.

Dengan tiada kru yang menggantikan mereka, Rubio, Petelin dan Prokopyev kini akan menghabiskan hampir setahun di angkasa lepas.

MS-22 yang rosak dijangka berlepas dari stesen angkasa tanpa penumpang dan kembali ke bumi pada akhir Mac.

Terdapat empat lagi yang sedang berada di atas ISS, yang tiba dengan kapsul SpaceX Dragon pada Oktober lalu sebagai sebahagian daripada misi Crew-5.

Mereka dijadualkan disertai anggota misi Crew-6 minggu depan terdiri daripada dua warga Amerika, seorang Emiriah Arab Bersatu dan seorang Rusia yang juga akan tiba dengan menaiki kapsul SpaceX yang dijangka dilancarkan Isnin dari Florida.

Beberapa hari kemudian, Crew-5 akan kembali ke bumi. -AFP

(Kapal angkasa Rusia berlabuh di ISS ganti kapsul rosak/NASA)

Media Baharu