fb fb fb fb fb

Malaysia, Australia setuju tingkat hubungan dua hala -Saifuddin

(Saifuddin menerima kunjungan Menteri Luar Negeri Australia,
Senator Penny Wong di Putrajaya)


PUTRAJAYA, 28 Jun- Malaysia dan Australia akan terus meningkatkan hubungan dua hala kedua negara terutama dalam bidang ekonomi digital dan keselamatan siber.

Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, komitmen itu antara yang dipersetujui ketika menerima kunjungan Menteri Luar Negeri Australia, Senator Penny Wong di Putrajaya, hari ini.

Mereka juga komited untuk terus mengukuhkan lagi hubungan erat kedua negara sebagai Rakan Kongsi Strategik Komprehensif (CSP) yang bertunjangkan kemakmuran ekonomi, teknologi dan masyarakat serta kerjasama pertahanan dan keselamatan serantau.

Sementara itu, Senator Wong dalam ucapannya turut menyatakan kesediaan Australia untuk bekerjasama ke arah keamanan, kestabilan dan kemakmuran rantau ASEAN.

Wong yang kini dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia berkata pada Selasa bahawa masa depan Australia saling berkait rapat dengan masa depan ASEAN dan Asia Tenggara.

"Kita berkongsi masa depan yang sama kerana berada di rantau yang sama, dan itulah cara kita membina hubungan dan berdepan cabaran yang hadapi," katanya.

“Kerajaan Australia kekal komited kepada Pemusatan ASEAN dan kami melihat ASEAN sebagai rantau yang stabil, aman dan makmur di mana kedaulatan dihormati,” katanya pada sidang media bersama Saifuddin Abdullah selepas mesyuarat dua hala di sini.

(Wong berkata, masa depan Australia saling berkait rapat dengan masa depan
ASEAN dan Asia Tenggara)

Beliau berkata Australia juga bertuah dan berbesar hati menjadi Rakan Strategik Komprehensif ASEAN.

Katanya, ketika lawatannya ke Jakarta bersama Perdana Menteri Anthony Albanese awal bulan ini, beliau berpeluang bertemu dengan setiausaha agung ASEAN dan wakil tetap yang lain untuk berbincang mengenai perkongsian yang lebih utuh.

Australia dan ASEAN mewujudkan Perkongsian Strategik Komprehensif pada Oktober 2021.

Tambah beliau, mereka berdua turut bertukar pendapat dalam isu serantau terutama melibatkan isu pakatan keselamatan strategik baharu Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AUKUS) selain melibatkan isu kemanusian di Myanmar.

Mengenai pakatan kerjasama keselamatan baharu tiga negara - Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat - yang lebih dikenali dengan singkatan AUKUS, Menteri Luar itu berkata menerusi perjanjian itu kerajaan Australia berhasrat menggantikan kapal selam berkuasa diesel sedia ada kepada kapal selam berkuasa nuklear.

"Kami bercakap mengenai kapal selam yang menggunakan tenaga nuklear untuk kuasa tujahan dan bukan senjata nuklear," katanya bagi membetulkan tanggapan salah berhubung kapal selam dan pakatan itu.

Mengulas lanjut, Wong berkata kerajaan baharunya juga meluangkan masa untuk mendengar dan menjelaskan kepada pelbagai pihak berhubung kebimbangan mengenai perkara itu.

AUKUS, yang diumumkan pada September tahun lalu telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan negara-negara serantau kerana dikhuatiri boleh meningkatkan lagi ketegangan di rantau itu.

Sementara itu, Wong yang dilahirkan di Malaysia sebelum berpindah ke Australia sejak muda menyifatkan lawatannya ke sini sebagai hari istimewa.

Pertemuan itu merupakan antara pengisian utama sepanjang 3 hari lawatan kerja menteri luar Australia di negara ini.

Media Baharu