KAHERAH, 5 Julai - Sembilan orang terkorban manakala 11 lagi cedera dalam kemalangan melibatkan dua buah minibus di lebuh raya di kawasan Delta Nil, utara Mesir, pada Sabtu.
Menurut Kementerian Kesihatan negara itu, kemalangan berlaku berhampiran kampung Bani Salama, kira-kira 50 kilometer utara Kaherah.
Ia merupakan insiden maut kedua di lebuh raya yang sama dalam tempoh lebih seminggu.
Susulan kemalangan terbaru itu, Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi, mengarahkan pihak berkuasa mempertingkatkan usaha keselamatan jalan raya, termasuk mengkaji penutupan bahagian lebuh raya yang sedang diselenggara serta menyediakan laluan alternatif yang selamat, menurut kenyataan dari pejabat presiden.
Beliau turut menggesa tindakan undang-undang segera diambil terhadap pesalah lalu lintas serta pelaksanaan penguatkuasaan lebih tegas untuk membendung pemanduan laju dan muatan berlebihan.
Pada 27 Jun lalu, seramai 19 orang, kebanyakannya remaja perempuan yang bekerja sebagai buruh harian, maut apabila lori bertembung dengan minibus yang mereka naiki.
Jalan raya di Mesir sering meragut ribuan nyawa setiap tahun, dengan kemalangan lazimnya berpunca daripada pemanduan cuai, penyelenggaraan jalan yang lemah serta penguatkuasaan undang-undang yang longgar.
Insiden seperti itu amat kerap berlaku di kawasan luar bandar, susulan sistem pengangkutan tidak terkawal terutamanya minibus yang sesak, digunakan untuk membawa pekerja ke ladang dan kilang. - AFP