KARACHI, 6 Julai - Angka korban akibat runtuhan sebuah bangunan kediaman di bandar raya mega Pakistan, Karachi, meningkat kepada 21 orang, pada Sabtu.
Pegawai kerajaan daerah, Javed Nabi Khoso berkata, operasi menyelamat masih diteruskan.
Menurut pihak berkuasa, bangunan berkenaan telah diisytiharkan tidak selamat dan notis pengosongan telah dihantar kepada penghuni sejak tiga tahun lalu.
Bagaimanapun, beberapa tuan rumah dan penduduk mendakwa mereka tidak pernah menerima sebarang notis.
Penduduk melaporkan terdengar bunyi retakan sebelum bangunan apartmen itu runtuh sekitar pukul 10.00 pagi Jumaat di kawasan miskin Lyari, yang dahulunya dikenali sebagai kawasan berbahaya akibat jenayah kumpulan samseng.
Menurut keluarga mangsa, sekurang-kurangnya lapan orang masih dipercayai terperangkap, dengan suhu sekitar meningkat kepada 33 darjah Celsius pada Sabtu.
Setakat ini, lebih 50 bangunan di daerah tersebut telah dikenal pasti sebagai tidak selamat, dengan enam daripadanya telah dikosongkan sejak semalam, kata Khoso. - AFP