fb fb fb fb fb

Mahkamah Qatar ketepikan hukuman mati ke atas bekas pegawai tentera laut India

Foto Hiasan

NEW DELHI, 28 Disember- Mahkamah Qatar menggugurkan hukuman mati ke atas lapan bekas pegawai Tentera Laut India yang disabitkan kesalahan awal tahun ini atas pertuduhan mengintip.

Kesemua bekas pegawai tentera laut yang bekerja untuk Dahra Global Technologies and Consultancy, sebuah syarikat swasta yang terlibat dalam perkhidmatan maritim, ditahan oleh perkhidmatan perisikan Qatar pada Ogos tahun lepas, dan mahkamah menjatuhkan hukuman mati ke atas mereka pada 26 Okt tahun ini.

"Kami mengambil maklum mengenai keputusan Mahkamah Rayuan Qatar hari ini dalam kes Dahra Global, dengan hukuman telah dikurangkan," menurut Kementerian Hal Ehwal Luar India dalam satu kenyataan pada Khamis.

Duta India ke Qatar dan pegawai lain hadir ketika Mahkamah Rayuan menggugurkan hukuman mati terhadap lapan lelaki berkenaan.

Kementerian itu memberi bantuan kepada kelapan-lapan tahanan sejak awal kes itu dan akan terus menghulurkan semua bantuan konsular dan undang-undang kepada mereka.

"Disebabkan sifat prosiding kes ini yang sulit dan sensitif, kami tidak dapat membuat sebarang ulasan lanjut ketika ini," katanya.

Pertuduhan khusus terhadap bekas pegawai tentera India itu tidak diketahui, namun menurut laporan media, mereka didakwa mengintip untuk Israel membabitkan projek kapal selam Qatar.

Qatar yang mempunyai pengaruh politik yang penting di Asia Barat dan rantau yang lebih luas tidak mempunyai hubungan formal dengan Israel. - BERNAMA

ZEHRA BINTI ZAMBRI