fb fb fb fb fb

Mahkamah Jenayah Antarabangsa sedia buka semula siasatan 'perang dadah' di Filipina

(Ahli keluarga mangsa yang menuntut keadilan di bawah
pucuk pimpinan bekas Presiden Duterte/FOTO REUTERS)

MANILA, 28 Januari - Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) bersedia untuk membuka semula siasatannya di Filipina.

Siasatan tersebut akan meneliti kemungkinan berlakunya jenayah terhadap kemanusiaan semasa kempen membanteras dadah di bawah pucuk pimpinan bekas Presiden Rodrigo Duterte.

ICC menggantung siasatannya pada November 2021, atas permintaan pemerintah Filipina, yang menyatakan ia sedang membuat semakannya sendiri.

Duterte telah menarik Filipina keluar daripada ICC pada 2018, dengan mengatakan bahawa mahkamah berkenaan tidak berhak untuk campur tangan dalam urusan negaranya.

Namun badan pemerhati hak asasi manusia, Human Rights Watch, menekankan penyiasatan ICC merupakan satu-satunya jalan yang boleh dipercayai demi mencapai keadilan bagi kesemua mangsa yang terkorban dan ahli keluarga mereka.


(Lebih 6,000 disyaki pengedar dadah telah terbunuh begitu saja,

dan ramai mendakwa semua itu tidak disertai proses pengadilan yang sewajarnya/FOTO AFP)

Pada September tahun 2021, panel hakim ICC meluluskan satu siasatan berhubung kematian ribuan suspek jenayah dadah di Filipina.

Golongan aktivis berkata, ramai yang terkorban akibat tindakan agensi penguatkuasaan yang dilancar oleh Duterte. ICC kemudiannya terpaksa menangguhkan siasatan pada November atas permintaan Manila.

Kumpulan-kumpulan hak asasi bagaimanapun menjangkakan angka korban jiwa mungkin mencecah sehingga 30,000 individu, yang mana sebilangannya terdiri daripada mangsa yang tidak bersalah.

Malah, mereka juga mendakwa bahawa tindakan rasuah berleluasa pada ketika itu yang terdiri dalam kalangan pasukan keselamatan yang bertindak dengan sewenang-wenangnya. - AFP

Media Baharu