fb fb fb fb fb

Kanada lantik penasihat antiIslamofobia pertama

(Wartawan dan aktivis, Amira Elghawaby, dipilih untuk berkhidmat sebagai
penasihat, pakar danwakil kerajaan  memerangi
Islamophobia/FOTO muslimincanada.com)

MONTREAL, 27 Januari- Kanada mengumumkan pelantikan wakil khas pertamanya untuk memerangi Islamophobia susulan beberapa serangan terhadap umat Islam di negara itu.

Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, berkata wartawan dan aktivis, Amira Elghawaby, dipilih untuk berkhidmat sebagai penasihat, pakar dan wakil kerajaan.

"Beliau berperanan menyokong dan meningkatkan usaha kerajaan persekutuan dalam memerangi Islamofobia, kebencian sistemik, diskriminasi kaum dan sikap tidak bertolak ansur antara agama," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau dikenali sebagai pejuang hak asasi manusia yang aktif.

"Elghawaby bertugas sebagai ketua komunikasi untuk Yayasan Perhubungan Perkauman Kanada dan kolumnis untuk akhbar Toronto Star, dan pernah berkerja selama lebih sedekad di penyiar awam CBC.

"Kepelbagaian adalah satu kekuatan terbesar Kanada, tetapi bagi kebanyakan orang Islam, Islamofobia sudah menjadi satu kebiasaan," katanya.


(Amira Elghawaby/FOTO TWITTER Elghawaby)

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, berlaku peningkatan beberapa siri serangan maut menyasarkan masyarakat Islam Kanada.

Pada Jun 2021, empat sekeluarga terbunuh apabila seorang lelaki melanggar mereka dengan traknya di London, Ontario.

Empat tahun sebelum itu, enam orang Islam maut dan lima cedera dalam serangan ke atas masjid di Bandaraya Quebec.

Dalam catatannya di Twitter, Elghawaby menyenaraikan nama mereka yang terbunuh dalam serangan baru-baru ini.

"Ia tidak mungkin dapat luput daripada ingatan," tambahnya dalam catatan berkenaan.

Jawatan baharu itu disyorkan oleh sidang kemuncak kebangsaan mengenai Islamofobia yang dianjurkan oleh kerajaan Persekutuan pada Jun 2021 sebagai tindak balas terhadap serangan itu. - AFP

Media Baharu