fb fb fb fb fb

Maharaja Jepun zahir harapan keamanan, 80 tahun lepas tamat Perang Dunia Kedua

Maharaja Jepun Naruhito dan Maharani Masako menyantuni tetamu di Istana Diraja sempena ulang tahun ke-65 Naruhito di Tokyo/ AFP

TOKYO, 23 Februari- Maharaja Jepun Naruhito menzahirkan harapan mengenai keamanan dunia sempena ulang tahun keputeraan serta menandakan ulang tahun ke-80 berakhirnya Perang Dunia Kedua, kata Imperial Household Agency (IHA).

"Saya berharap tahun ini, ulang tahun ke-80 berakhirnya Perang Dunia Kedua, akan menjadi satu kesempatan, untuk mengingati betapa berharganya keamanan dalam hati kita dan untuk mengulangi komitmen kita terhadap keamanan", kata Naruhito dalam ucapan kepada IHA menjelang ulang tahunnya yang ke-65.

"Saya percaya bahawa penting untuk berkongsi pengalaman tragis dan sejarah peperangan dari generasi yang mengalaminya kepada generasi yang tidak mengetahuinya," katanya.

"Banyak nyawa berharga telah hilang dalam serangan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki, serangan udara di Tokyo dan bandar-bandar lain, pertempuran darat di Okinawa dan pertempuran di Iwo Jima dan di luar negara," tambahnya.

Maharaja Naruhito berkata adalah penting untuk memupuk rasa cinta terhadap keamanan dengan meningkatkan pemahaman berhubung masa lalu, selain tidak melupakan mereka yang telah meninggal dunia dan mengalami penderitaan.

"Dengan dunia masih menderita akibat perang, bencana alam dan perubahan iklim, saya percaya bahawa kerjasama dan kolaborasi yang lebih besar dalam komuniti antarabangsa diperlukan untuk membina masyarakat yang toleransi yang menghormati dan menerima nilai-nilai yang berbeza dan dunia yang aman," katanya.

Semasa Perang Dunia Kedua, Jepun berperang di China dan Burma (Myanmar) menentang tentera bersekutu dan cuba menakluk India yang dikuasai British, yang pada waktu itu Bangladesh adalah sebahagian daripadanya.

Perang berakhir pada Ogos 1945 selepas Amerika Syarikat melancarkan dua bom nuklear di Jepun.-AFP

ROSLINA BINTI DIN