CARACAS, 1 Mei- Presiden Venezuela, Nicolas Maduro mengumumkan kenaikan 23 peratus bagi pendapatan minimum menyeluruh pekerja kepada AS$160 sebulan.
Penguatkuasaan itu bermula Rabu (30 April), meskipun kadar gaji pokok kekal tidak berubah.
Langkah itu melibatkan peningkatan jumlah elaun dan bonus, tetapi gaji asas yang masih bersamaan AS$1.50, tidak diselaraskan sejak Mac 2022.
Skala gaji kakitangan awam turut kekal pada kadar sama, dengan kerajaan lebih cenderung membayar elaun khas yang tidak mempengaruhi faedah sosial dan perundangan.
"Sekatan terbaharu terhadap syarikat minyak negara dan pelaburan berkaitannya bertujuan menyekat sepenuhnya sumber kewangan kita," kata Maduro menerusi siaran televisyen negara.
Sebelum ini, kerajaan menetapkan pendapatan minimum pada kadar AS$130 pada tahun 2024.
Sementara itu, AS membenarkan rakan kongsi asing syarikat minyak negara PDVSA untuk terus beroperasi di Venezuela sehingga 27 Mei, namun penganalisis memberi amaran bahawa tindakan itu boleh menjejaskan hasil pendapatan negara daripada sektor minyak.
Menurut Observatori Kewangan Venezuela, kadar inflasi tahunan negara itu bagi Mac dianggarkan mencecah 136 peratus.
Namun, Bank Pusat Venezuela belum mengeluarkan sebarang data rasmi mengenai harga pengguna sejak Oktober 2024.- Reuters