KIEV/WASHINGTON, 1 Mei- Ukraine dan Amerika Syarikat (AS) menandatangani satu perjanjian penting pada Rabu yang memberi AS akses istimewa kepada perjanjian mineral baharu Ukraine.
Selain itu, mewujudkan dana pelaburan bersama untuk pemulihan semula negara tersebut.
Perjanjian itu ditandatangani di Washington selepas rundingan berbulan-bulan, merupakan antara inisiatif utama yang dipromosikan Presiden AS, Donald Trump dalam usahanya mencari penyelesaian damai bagi konflik Rusia-Ukraine yang telah berlarutan selama tiga tahun.
Perjanjian berkenaan turut dilihat sebagai langkah penting dalam usaha Kiev memulihkan hubungan dengan pentadbiran Trump, yang dilihat renggang sejak beliau mengambil alih jawatan Presiden, Januari lalu.
Menerusi perjanjian itu, AS dijangka menyumbang secara langsung kepada dana pemulihan Ukraine dan berpotensi memberikan bantuan tambahan seperti sistem pertahanan udara.
"Sebagai tambahan kepada sumbangan kewangan langsung, ia juga mungkin menyediakan bantuan baharu seperti sistem pertahanan udara untuk Ukraine,” kata Timbalan Perdana Menteri Pertama Ukraine, Yulia Svyrydenko, dalam satu kenyataan di platform X.
Bagaimanapun, Washington belum mengesahkan perkara tersebut secara langsung.
Svyrydenko dan Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, dilihat menandatangani perjanjian berkenaan dalam satu foto yang dimuat naik di platform X oleh Jabatan Perbendaharaan AS.
"Perjanjian ini jelas menunjukkan komitmen pentadbiran Trump terhadap sebuah Ukraine yang bebas, berdaulat dan makmur," menurut kenyataan jabatan itu.
AS kekal sebagai penyumbang ketenteraan terbesar kepada Ukraine sejak pencerobohan penuh Rusia pada 2022, dengan jumlah bantuan melebihi 64 bilion euro (AS$72 bilion), menurut Institut Kiel di Jerman.
Trump turut menegaskan bahawa AS wajar memperoleh sesuatu sebagai timbal balik kepada bantuan yang diberikan kepada Kiev, dengan melibatkan usaha untuk mendapatkan akses kepada sumber mineral nadir bumi yang kaya di Ukraine.- REUTERS