fb fb fb fb fb

Wanita tertua dunia, Inah Canabarro meninggal dunia

Inah Canabarro Lucas meninggal dunia pada usia 116 tahun/Reuters

BRASÍLIA, 1 Mei- Wanita tertua dunia iaitu seorang biarawati dari Brazil, Inah Canabarro Lucas, meninggal dunia pada Rabu pada usia 116 tahun.

Pemergian Canabarro diumumkan oleh Kongregasi Biarawati Teresian di Porto Alegre, Brazil yang menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan dan pengabdian beliau sepanjang hayat sebagai tokoh keagamaan yang disegani.

Dilahirkan pada 8 Jun 1908, Canabarro menjadi biarawati pada tahun 1934 ketika berusia 26 tahun.

Gelaran wanita tertua di dunia kini disandang oleh Ethel Caterham, 115, dari Surrey, England, menurut Kumpulan Penyelidikan Gerontologi (GRG) dan pangkalan data LongeviQuest.

Canabarro sebelum ini menggantikan tempat Tomiko Itooka dari Jepun yang meninggal dunia Januari lalu, juga pada usia 116 tahun.

Menurut GRG, beliau merupakan individu ke-15 tertua yang pernah direkodkan dan biarawati kedua tertua selepas Lucile Randon dari Perancis yang meninggal dunia pada usia 118 tahun pada tahun 2023. -AFP

SITI AISHAH MD ISA