fb fb fb fb fb

Arahan Trump percepat eksploitasi laut dalam dikecam ISA

Donald Trump/AFP

NEW YORK, 1 Mei- Ketua Pihak Berkuasa Dasar Laut Antarabangsa (ISA), Leticia Carvalho mengecam tindakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang mengarahkan percepatan aktiviti perlombongan laut dalam di kawasan perairan antarabangsa di luar wilayah AS.

"Tiada negara berhak mengeksploitasi sumber mineral secara unilateral di luar kerangka undang-undang yang ditetapkan oleh Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS)," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Walaupun Amerika Syarikat bukan negara penandatangan UNCLOS yang ditubuhkan pada 1982, Carvalho menegaskan larangan eksploitasi unilateral tetap terpakai kepada semua negara.

UNCLOS memperuntukkan bahawa perairan antarabangsa dan sumbernya merupakan "warisan bersama manusia sejagat".

Menurut beliau, tindakan pentadbiran Trump yang dilaporkan berasaskan undang-undang lama bagi membolehkan kerajaan persekutuan mengeluarkan permit perlombongan dasar laut telah mencetuskan bantahan antarabangsa termasuk dari Paris dan Beijing.

ISA kini dalam usaha merangka peraturan menyeluruh bagi mengimbangi potensi ekonomi aktiviti perlombongan laut dalam dengan keperluan melindungi alam sekitar marin daripada kerosakan yang tidak dapat dipulihkan.

"Tindakan unilateral ini amat mengejutkan memandangkan Amerika Syarikat selama lebih tiga dekad merupakan pemerhati yang konsisten dan penyumbang besar kepada usaha ISA," katanya sambil memberi amaran bahawa ia boleh mencetuskan "teladan berisiko" yang mengancam kestabilan sistem tadbir urus laut global.

Carvalho turut menegaskan kelebihan mematuhi norma antarabangsa melebihi segala risiko dan cabaran yang timbul daripada tindakan sepihak termasuk dalam aspek hubungan antara kerajaan serta keselamatan pelaburan. -AFP

SITI AISHAH MD ISA