fb fb fb fb fb

Rusia dan Ukraine sedia berunding, capai gencatan senjata

Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov/REUTERS

MOSCOW, 1 Mei- Rusia dan Ukraine menyatakan kesediaan untuk memulakan rundingan damai bagi mencapai persetujuan gencatan senjata.

Namun, masing-masing meletakkan syarat dan premis yang berbeza, menurut pegawai kedua-dua negara.

Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata Presiden Rusia, Vladimir Putin menyokong pelaksanaan perjanjian gencatan senjata jangka panjang bersama Ukraine dan menegaskan masih banyak isu teknikal dan terperinci perlu diselesaikan sebelum ia dimuktamadkan.

"Rusia bersedia mengadakan rundingan terus dengan Ukraine tanpa sebarang prasyarat. Namun, Ukraine setakat ini belum menyatakan secara jelas kesediaannya untuk berbuat demikian," kata Peskov.

Beliau turut menekankan bahawa rundingan damai perlu berlangsung antara Rusia dan Ukraine, bukan melibatkan Amerika Syarikat (AS), kerana Ukraine perlu menjadi pihak utama dalam memacu proses damai tersebut.

Dalam pada itu, Peskov turut mengulangi bahawa Rusia masih mengekalkan keutamaan untuk mencapai matlamat operasi ketenteraan khasnya di Ukraine.

Menteri Luar Ukraine, Andrii Sybiha dalam satu kenyataan di media sosial berkata negaranya bersedia untuk menyertai rundingan damai dalam apa jua bentuk sebaik sahaja Rusia menunjukkan kesediaan untuk memulakan "laluan sukar ke arah perdamaian".

Menurut beliau, Rusia boleh membuktikan komitmennya terhadap rundingan damai dengan bersetuju terhadap gencatan senjata tulen selama sekurang-kurangnya 30 hari.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM