WELLINGTON, 1 Mei- Cuaca ekstrem yang melanda New Zealand mendesak kepada penutupan sekolah, jalan raya dan pembatalan penerbangan pada Khamis.
Menurut agensi cuaca negara tersebut, kelajuan angin direkodkan di ibu kota Wellington, adalah yang paling kuat dalam tempoh lebih sedekad.
Institut Air dan Penyelidikan Atmosfera Nasional (NIWA) melaporkan purata kelajuan angin di Wellington mencecah 87 kilometer sejam manakala kelajuan angin kencang di Baring Head mencapai 160 kilometer sejam, tertinggi sejak tahun 2013.
Di Pulau Selatan, beberapa kawasan turut berdepan banjir akibat hujan lebat selama 24 jam.
Amaran angin tahap merah, tahap tertinggi dalam sistem amaran cuaca telah dikeluarkan.
Ini merupakan kali pertama Wellington menerima amaran tahap merah sejak sistem tersebut diperkenalkan pada 2019.
Universiti Victoria Wellington, beberapa sekolah tempatan dan Majlis Bandar Raya Wellington ditutup sepanjang Khamis.
Walaupun terdapat beberapa penerbangan yang sempat mendarat dan berlepas pada sebelah pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Wellington, majoriti penerbangan telah dibatalkan pada waktu petang.
Perkhidmatan feri antara Pulau Utara dan Selatan juga dibatalkan sebagai langkah berjaga-jaga.
Pihak berkuasa menasihatkan penduduk agar kekal berada di rumah dan mematuhi arahan keselamatan.- REUTERS