YANGON, 1 Mei - Junta tentera Myanmar tidak melanjutkan genjatan senjata yang berakhir pada Khamis, meskipun pemantau mendakwa tentera berkali-kali melanggar perjanjian itu melalui serangan udara.
Genjatan senjata diisytiharkan pada 2 April bagi membolehkan usaha bantuan selepas gempa bumi bulan lalu. Gempa bumi bermagnitud 7.7 yang melanda kawasan tengah Myanmar pada 28 Mac lalu telah meragut hampir 3,800 nyawa dan menyebabkan puluhan ribu penduduk kehilangan tempat tinggal.
Junta yang merampas kuasa dalam rampasan kuasa pada tahun 2021, mencetuskan perang saudara melibatkan pelbagai kumpulan telah mengisytiharkan gencatan senjata pada 2 April, dan melanjutkannya minggu lalu selepas amaran daripada agensi bantuan bahawa proses pemulihan akan mengambil masa yang panjang.
Namun, gencatan tersebut tamat pada tengah malam Rabu (1730 GMT Selasa) tanpa sebarang pengumuman lanjut daripada pasukan maklumat junta. Seorang jurucakap junta tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan komen.
Menurut pemantauan daripada Centre for Information Resilience yang berpangkalan di Britain, sebanyak 65 serangan udara oleh tentera direkodkan sepanjang tempoh gencatan senjata dan kebanyakannya tertumpu di kawasan yang paling teruk terjejas akibat gempa bumi.
Ketika mengumumkan gencatan senjata, pihak tentera turut memberi amaran bahawa mereka akan bertindak balas sekiranya kumpulan antirampasan kuasa dan kumpulan bersenjata etnik mengambil kesempatan untuk mara.
Dalam tempoh gencatan itu juga, kumpulan bersenjata pembangkang dilaporkan mengepung beberapa bandar di laluan perdagangan timur yang penting ke Thailand. Penduduk tempatan memaklumkan bahawa pertempuran memaksa ramai orang awam melarikan diri dari kediaman mereka.
Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah minggu ini meramalkan bahawa Myanmar akan mengambil masa hingga dua tahun untuk pulih sepenuhnya daripada bencana itu. - AFP