MOSCOW, 1 Mei - Sekurang-kurangnya tujuh individu terkorban selepas serangan dron Ukraine ke atas sebuah pasar di bandar Oleshky dalam wilayah Kherson, selatan Ukraine, menurut seorang pegawai yang dilantik Moscow.
Gabenor wilayah Kherson Vladimir Saldo menerusi Telegram memaklumkan, lebih 20 lagi cedera akibat daripada insiden serangan itu.
"Angkatan Tentera Ukraine telah melancarkan serangan besar-besaran menggunakan dron FPV terhadap orang awam.
Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh dan lebih 20 lagi cedera," kata Saldo.
Gambar yang dikongsi Saldo menunjukkan mayat bergelimpangan di bahagian runtuhan bangunan.
Saldo turut menyiarkan video yang menunjukkan asap tebal di kawasan pasar akibat serangan susulan.
Oleshky terletak di tebing Sungai Dnipro yang kini diduduki dan dikuasai tentera Rusia pada 2022.
Dalam insiden berasingan, satu serangan dron oleh Rusia semalaman telah mengorbankan sekurang-kurangnya dua orang dan mencederakan 15 lagi di kawasan kediaman di Odesa, menurut perkhidmatan kecemasan Ukraine awal pagi Khamis.
Serangan berlaku sehari selepas Amerika Syarikat dan Ukraine menandatangani perjanjian mineral yang menurut pentadbiran Presiden Donald Trump sebagai bentuk komitmen baharu Washington kepada Kiev selepas penamatan bantuan ketenteraan. - AFP