GENEVA, 1 Mei - Sekurang-kurangnya 542 orang awam disahkan terbunuh di wilayah Darfur Utara, Sudan dalam tempoh tiga minggu lalu, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis.
Bagaimanapun PBB memaklumkan angka sebenar kemungkinan besar jauh lebih tinggi.
"Kekejaman yang sedang berlaku di Sudan tidak mengenal batas," kata Ketua Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk, dalam satu kenyataan.
Peperangan itu telah mengorbankan puluhan ribu nyawa dan mencetuskan krisis perpindahan dan kebuluran terbesar di dunia, menurut agensi-agensi bantuan.
Pertempuran bagi menguasai El-Fasher, bandar utama terakhir di Darfur yang masih belum jatuh ke tangan RSF, semakin memuncak dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Turk merujuk kepada serangan RSF terhadap bandar El-Fasher dan kem pelarian Abu Shouk tiga hari lalu yang meragut sekurang-kurangnya 40 orang awam.
"Ini menjadikan jumlah kematian orang awam yang disahkan di Darfur Utara kepada sekurang-kurangnya 542 dalam tempoh hanya tiga minggu," katanya, sambil menegaskan bahawa jumlah sebenar mungkin jauh lebih tinggi.
"Segala usaha mesti dilakukan untuk melindungi orang awam yang terperangkap dalam keadaan yang amat teruk di dalam dan sekitar El-Fasher," katanya lagi.
Turk turut menyuarakan kebimbangan terhadap laporan pelaksanaan hukuman mati tanpa bicara di negeri Khartoum dan ia disifatkan sesuatu yang membimbangkan. - AFP