fb fb fb fb fb

England larang transgender sertai bola sepak wanita mulai Jun

Foto fail/Reuters

LONDON, 1 Mei - Wanita transgender tidak lagi dibenarkan bermain dalam sukan bola sepak wanita di England bermula Jun depan, menurut pengumuman Persatuan Bola Sepak England (FA) pada Khamis.

Menurut FA keputusan itu dibuat berikutan keputusan Mahkamah Agung UK bulan lepas mengenai Akta Kesaksamaan.

Persatuan Bola Sepak Scotland (SFA) turut mengumumkan larangan yang sama akan dikuatkuasakan bermula musim 2025/26.

Larangan akan melibatkan semua peringkat bola sepak wanita sama ada profesional atau amatur di kedua-dua negara.

Dasar penyertaan transgender Persatuan Bola Sepak England (FA) telah dikemas kini sebelum keputusan Mahkamah Agung dan ketika itu masih membenarkan wanita transgender bermain dalam bola sepak wanita dengan syarat mereka mengurangkan paras testosteron.

Perubahan peraturan itu memberikan kelonggraran kepada FA menentukan sama ada seorang wanita transgender boleh bermain, dengan mengambil kira isu keselamatan dan keadilan.

Namun kini, FA telah mengubah semula dasarnya dan melarang sepenuhnya wanita transgender daripada menyertai perlawanan bola sepak wanita.

"Kami faham bahawa ini adalah sesuatu yang sukar bagi individu yang hanya mahu bermain sukan yang mereka minat. Kami sedang menghubungi wanita transgender yang berdaftar dan sedang bermain untuk menerangkan perubahan ini serta bagaimana mereka masih boleh terus terlibat dalam bola sepak,” kata FA dalam satu kenyataan. - AFP

TETITIA YUSOFF