HANGZHOU, 1 Mei - Sekumpulan pelajar sekolah menengah panik selepas tergantung dalam keadaan terbalik selama lebih seminit apabila sebuah permainan buaian gergasi di sebuah taman tema di Hangzhou, China terhenti secara mengejut ketika berada di puncak.
Kejadian itu berlaku sebuah taman tema popular di sebuah bandar di wilayah Zhejiang, China pada Isnin (28 April).
Sebuah video yang dikongsi orang awam menunjukkan permainan itu berayun seperti buaianl gergasi sebelum tiba-tiba terhenti di puncaknya, menyebabkan kesemua 54 penumpang tergantung di udara.
Pelancong yang terlibat tergantung dalam keadaan terbalik selama kira-kira 60 saat, menyebabkan mangsa loya dan tekanan kepala, khususnya dalam kalangan pelajar muda.
Menurut kakitangan taman tema, pelajar terbabit dalam lawatan berkumpulan sekolah dan hanya mereka yang menaiki permainan tersebut.
Pihak pengurusan taman menjelaskan bahawa permainan itu terhenti kerana berat penumpang di kedua-dua belah buaian adalah sama rata, sekali gus mencetuskan mekanisme perlindungan keselamatan yang menghalang buaian daripada berayun semula ke bawah.
Mereka melaporkan ia bukan disebabkan kegagalan mekanikal atau kemalangan, tetapi satu kejadian yang jarang berlaku.
Seorang kakitangan berkata: “Ia seperti satu imbangan. Jika satu sisi lebih berat, ia akan condong dan kembali semula; kali ini, imbangan adalah sempurna.”
Sistem kecemasan permainan itu telah diaktifkan, menukarkan kawalan kepada mod manual bagi menurunkan penumpang secara perlahan.
Jurucakap taman tema berkata: “Peralatan telah diperiksa serta-merta. Kami tidak menemui sebarang masalah, dan pemeriksaan jarak jauh oleh pengilang juga mengesahkan bahawa ia berfungsi dengan normal.”
Semua penumpang telah menjalani pemeriksaan perubatan di tempat kejadian dan tiada kecederaan dilaporkan.
Pihak taman tema berkata mereka akan menanggung sebarang kos perubatan susulan dan akan menggunakan insiden itu bagi menambah baik protokol kecemasan serta prosedur tindak balas kakitangan.
Pihak pengurusan turut memohon maaf atas kejadian yang menimpa pelajar berkenaan sambil menegaskan bahawa permainan buaian gergasi itu masih selamat dan beroperasi seperti biasa.