ISTANBUL, 1 Mei - Polis Istanbul menahan lebih 400 orang yang hadir demonstrasi sempena Hari Pekerja (May Day) pada Khamis.
Demonstrasi itu menyebabkan sebahagian kawasan di bandar terbesar Turkiye lumpuh, menurut satu kumpulan peguam.
Pada Rabu, pihak berkuasa bandar telah menutup perkhidmatan metro, bas dan feri di bandar raya tersebut serta menahan 100 individu yang didakwa merancang mengadakan protes di Dataran Taksim.
Taksim merupakan lokasi yang telah diharamkan untuk perhimpunan sejak tahun 2013.
Hari Pekerja tahun ini berlangsung dalam suasana ketegangan politik, apabila kerajaan berdepan pertelagahan dengan Parti Rakyat Republikan (CHP), susulan penahanan calon presidennya, Ekrem Imamoglu.
Imamoglu, yang juga Datuk Bandar Istanbul, merupakan pencabar politik utama kepada Presiden Recep Tayyip Erdogan.
"Jumlah tangkapan yang telah dilaporkan kepada kami melebihi 400 orang," kata cawangan Istanbul kumpulan peguam CHD (Kesatuan Peguam Progresif) di platform X pada Khamis.
Pihak berkuasa bandar belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai penahanan itu.
Wartawan AFP menyaksikan sebahagian besar bilangan individu ditahan di beberapa kawasan kejiranan di bahagian Eropah bandar itu.
Menurut media tempatan dan wartawan AFP, beberapa ribu orang berhimpun dalam demonstrasi yang dibenarkan oleh kesatuan pekerja di bahagian Asia Istanbul.
Pada Rabu, kumpulan hak asasi Amnesty International menggesa Turkiye supaya menarik balik larangan terhadap demonstrasi di Dataran Taksim.
"Sekatan terhadap sambutan Hari Pekerja di Dataran Taksim adalah berasaskan alasan keselamatan dan ketenteraman awam yang tidak berasas, dan mesti segera ditarik balik," kata Dinushika Dissanayake, pakar Amnesty bagi rantau Eropah.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, dataran itu telah ditutup dengan penghadang logam selama beberapa hari, dengan kawalan ketat pihak polis. - AFP