NEW DELHI, 10 Februari - Lima orang terbunuh dan puluhan lagi cedera dalam pertempuran di India susulan pihak berkuasa merobohkan sebuah madrasah di negeri Uttarakhand, pada Jumaat.
Pegawai di bandar Haldwani, Vandana Singh yang mengesahkan kematian itu berkata, keganasan mulai tercetus lewat semalam selepas pasukan keselamatan diberi arahan untuk "menembak perusuh yang dilihat" dalam insiden itu.
Dalam kejadian itu, penunjuk perasaan juga didakwa membakar kenderaan.
Polis turut mendakwa penunjuk perasaan melempar batu ke arah mereka susulan perobohan madrasah itu, sekali gus menyebabkan anggota polis melepaskan tembakan gas pemedih mata.
Susulan insiden berkenaan, pihak berkuasa di Haldwani menggantung perkhidmatan Internet, menutup sekolah, menguatkuasakan perintah berkurung, dan melarang perhimpunan besar.
Menurut pegawai, pasukan keselamatan dari kawasan lain di negeri itu turut dikerahkan ke lokasi untuk mengawal keadaan.
Pihak berkuasa tempatan di negeri utara India itu merobohkan premis terbabit selepas mendakwa ia dibina tanpa kelulusan, sekali gus menyaksikan satu lagi insiden pemusnahan yang didakwa menyasarkan struktur berkait agama Islam di negara itu. - AFP