fb fb fb fb fb

Madagascar bubar kerajaan susulan protes belia

FOTO REUTERS

ANTANANARIVO, 29 September - Presiden Madagascar, Andry Rajoelina membubarkan kerajaan pada Isnin berikutan protes belia menentang gangguan bekalan air dan elektrik yang meragut sekurang-kurangnya 22 nyawa serta mencederakan lebih 100 orang.

Demonstrasi selama tiga hari itu, diinspirasikan oleh protes "Generasi Z" di Kenya dan Nepal, merupakan yang terbesar di Madagascar sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sekali gus menjadi cabaran paling serius buat Rajoelina sejak pemilihannya semula pada 2023.

Laporan Pertubuhan Bangsa Bersatu PBB menyebut, angka korban melibatkan penunjuk perasaan dan orang awam yang ditembak pasukan keselamatan, selain insiden keganasan susulan oleh kumpulan samseng. Namun, Kementerian Luar Madagascar menolak angka tersebut dengan alasan ia bersandarkan khabar angin dan maklumat tidak sahih.

Susulan itu, pihak berkuasa melaksanakan perintah berkurung dari senja hingga subuh, manakala polis menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan.

Peserta demonstrasi turut menggunakan strategi yang diadaptasi daripada kejayaan protes di Nepal dan Kenya.

Andy Rajoelina sebelum ini mula berkuasa pada 2009 selepas mengetuai rampasan kuasa.

Sementara itu, polis di ibu negara Madagascar melepaskan gas pemedih mata pada Isnin ketika ribuan rakyat kembali turun ke jalan untuk hari ketiga protes belia menentang gangguan bekalan air dan elektrik, dengan sebahagian besar peserta turut mendesak presiden meletak jawatan.

Penunjuk perasaan berhimpun di sebuah universiti di Antananarivo sambil membawa plakad dan menyanyikan lagu kebangsaan sebelum cuba berarak ke pusat bandar.

Protes bermula sejak Khamis ekoran krisis bekalan elektrik berpanjangan yang menyebabkan kediaman dan premis perniagaan terputus bekalan lebih 12 jam.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE