BUENOS AIRES, 30 September - Polis Argentina menahan suspek ketujuh berhubung pembunuhan kejam tiga remaja perempuan minggu lalu, kes yang mengejutkan negara itu.
Mayat dua bersaudara, Morena Verdi dan Brenda del Castillo, masing-masing berusia 20 tahun, serta Lara Gutierrez, 15 tahun, ditemukan Rabu lalu tertanam di halaman sebuah rumah di pinggir selatan Buenos Aires, lima hari selepas dilaporkan hilang.
Menurut pihak berkuasa, jenayah yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket dadah itu didakwa dilakukan secara langsung menerusi Instagram, dan disaksikan 45 pengikut akaun peribadi.
Polis memaklumkan penahanan seorang wanita muda pada Isnin selepas dia ditemu bual dalam sebuah rancangan televisyen tempatan.
Suspek berkenaan dilaporkan pernah dilihat menaiki kereta milik bapa saudaranya, yang turut ditahan Jumaat lalu di Bolivia, berhampiran sempadan Argentina, kerana disyaki memberi sokongan logistik untuk membawa mangsa.
Pada Rabu, dua lelaki dan dua wanita telah ditahan, diikuti suspek keenam pada Sabtu.
Pihak berkuasa mengenal pasti dalang utama pembunuhan itu sebagai seorang pengedar dadah warga Peru berusia 20 tahun yang digelar "Little J", aktif di kawasan miskin pinggir selatan Buenos Aires.
Waran tangkap antarabangsa telah dikeluarkan terhadapnya, manakala seorang lagi lelaki berusia 23 tahun yang dipercayai sebagai orang kanannya turut diburu.- AFP