MOSCOW, 30 September - Rusia pada Isnin memaklumkan tenteranya sedang menganalisis kemungkinan Amerika Syarikat (AS) membekalkan peluru berpandu jelajah Tomahawk kepada Ukraine bagi membolehkan serangan ke dalam wilayah Rusia, langkah yang dianggap mampu mencetuskan peningkatan konflik secara mendadak.
Penganalisis kanan di The American Enterprise Institute, Dalibor Rohac berkata, langkah itu akan menjadi "game changer" kerana dapat memperluaskan keupayaan serangan Ukraine.
Kenyataan tersebut dibuat sehari selepas Naib Presiden AS, JD Vance, mengesahkan Washington sedang meneliti permintaan Ukraine untuk mendapatkan peluru berpandu itu.
Presiden AS, Donald Trump bagaimanapun belum membuat keputusan muktamad, meskipun beliau dilihat berhati-hati agar perang Ukraine tidak berlarutan menjadi konfrontasi langsung dengan Rusia. Namun, pertimbangan tersebut mencerminkan rasa kecewa Trump terhadap Presiden Vladimir Putin yang enggan bersetuju dengan gencatan senjata selepas pertemuan di Alaska bulan lalu.
Peluru berpandu Tomahawk berupaya mencapai jarak sejauh 2,500 kilometer, sekali gus boleh mengenai Moscow serta sebahagian besar kawasan di Eropah Rusia sekiranya dilancarkan dari Ukraine.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy sebelum ini turut memberi amaran kepada pegawai Kremlin agar mengetahui lokasi tempat perlindungan bom.
Bagaimanapun, masih belum jelas bagaimana dan melalui negara mana peluru berpandu berkenaan boleh disalurkan. Zelenskiy mencadangkan agar AS menjualnya kepada negara Eropah yang kemudiannya akan menyalurkan ke Ukraine.
Bagi Kremlin, risiko peningkatan konflik akibat pembabitan AS dalam penggunaan peluru berpandu jarak jauh terhadap Rusia jelas membimbangkan.
Presiden Putin sebelum ini juga pernah memberi amaran bahawa Rusia berhak menyerang kemudahan ketenteraan di negara yang membenarkan Ukraine menggunakan peluru berpandu mereka bagi menyerang Rusia.-REUTERS