fb fb fb fb fb

Macron jumpa ketua parti untuk calon Perdana Menteri baharu

Presiden Perancis, Emmanuel Macron/Foto REUTERS

PARIS,24 Ogos- Parti-parti sayap kiri Perancis pada Jumaat memberitahu Presiden Perancis, Emmanuel Macron bahawa mereka mahu membentuk kerajaan baharu ketika dia memulakan rundingan mengenai calon Perdana Menteri baharu selepas pilihan raya Parlimen yang gagal mencapai keputusan majoriti.

Macron, yang tidak bercakap secara terbuka selepas pertemuannya dengan parti sayap kiri setakat ini telah mengabaikan permintaan mereka meskipun memenangi pilihan raya negara itu Julai lalu dengan alasan sayap kiri (Perikatan New Popular Front) tidak mencapai majoriti.

"Kami memberitahu Presiden bahawa adalah menjadi tanggungjawab Perikatan New Popular Front untuk membentuk kerajaan," kata Lucie Castets, seorang pegawai kanan kerajaan berusia 37 tahun yang kurang dikenali, dan dipilih oleh parti sayap kiri sebagai calon untuk Perdana Menteri, selepas pertemuan dengan Macron.

Selepas beberapa minggu perang mulut di antara kem-kem politik yang bersaing, pemimpin-pemimpin sayap kiri dilihat lebih optimis, dan berkata Macron mengakui terdapat keperluan untuk perubahan.

Pemimpin sayap kiri berharap Macron dapat membuat keputusan berhubung calon Perdana Menteri secepat mungkin selepas pertemuan dengan beberapa pihak seperti Konservatif dan sayap kanan masing-masing pada Jumaat dan Isnin.

Perdana Menteri baharu yang dinamakan oleh Macron menghadapi tugas yang sukar terutamanya berhubung kelulusan parlimen terhadap belanjawan 2025 negara itu yang menghadapi tekanan daripada Suruhanjaya Eropah dan pasaran bon untuk mengurangkan defisitnya.

Menurut media Perancis, beberapa pemimpin seperti Xavier Bertrand, bekas Perdana Menteri Sosialis, Bernard Cazeneuve dan Karim Bouamrane, Datuk Bandar Sosialis di sebuah kawasan miskin di pinggir Paris, berpotensi dilantik sebagai calon Perdana Menteri baharu negara berkenaan.

Macron sebelum ini mempunyai sejarah menamakan perdana menteri yang tidak dijangka.

Perlembagaan Perancis menyatakan Macron bebas untuk menamakan Perdana Menteri baharu yang dimahukannya.

Namun, Perdana Menteri baharu itu perlu mampu bertahan daripada undi tidak percaya daripada pihak pembangkang.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD