WASHINGTON, 24 Ogos-Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengumumkan pakej bantuan ketenteraan baharu kepada Ukraine sempena Hari Kebangsaan negara itu pada Sabtu.
Pengumuman itu dibuat ketika bercakap kepada Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy menerusi panggilan telefon pada Jumaat, menurut pejabat kedua-dua pemimpin.
Menerusi panggilan tersebut, Biden menegaskan semula sokongan Washington, yang disifatkan oleh White House sebagai "tidak berbelah bagi," untuk Ukraine dalam perangnya dengan Rusia.
Setiausaha Pertahanan AS Lloyd Austin, yang turut berbincang dengan rakan sejawatannya dari Ukraine, Rustem Umerov pada Jumaat berkata pakej bantuan tersebut bernilai AS$125 juta.
"Pakej bantuan tersebut termasuk peluru berpandu pertahanan udara, peralatan antidrone, peluru berpandu antiarmor,dan peluru", menurut kenyataan White House.
"Ukraine sangat memerlukan bekalan senjata daripada pakej yang diumumkan, terutamanya sistem pertahanan udara tambahan untuk perlindungan bandar, komuniti, dan infrastruktur kritikal secara berkesan," kata Zelenskiy dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabatnya selepas mengadakan panggilan dengan Biden.
Rusia melancarkan pencerobohan besar-besaran ke atas jirannya, Ukraine pada Februari 2022 selepas merampas Crimea daripada Ukraine pada tahun 2014.
Sejak itu, AS telah memberikan bantuan ketenteraan kepada Ukraine disamping turut mengenakan sekatan ke atas Moscow berhubung pencerobohan tersebut.
Washington telah menyediakan bantuan ketenteraan bernilai lebih daripada AS$50 bilion kepada Ukraine sejak 2022.
Dalam perkara berasingan, Amerika Syarikat mengenakan sekatan ke atas lebih daripada 400 entiti dan individu kerana menyokong perang Rusia di Ukraine, termasuk syarikat-syarikat China yang dipercayai oleh pegawai AS membantu Moscow untuk mengelak daripada dikenakan sekatan dan membina kekuatan ketenteraannya.-REUTERS