fb fb fb fb fb

Pilihan raya Presiden AS: RFK Jr Kennedy akhiri kempen, umum sokong Trump

Foto: REUTERS

PHOENIX, 24 Ogos- Robert F. Kennedy Jr mengakhiri kempen beliau pada Jumaat dengan membebaskan pencalonan untuk jawatan Presiden Amerika Syarikat (AS) dalam pilihan raya sekali gus menyokong kempen Donald Trump.

Kennedy, 70, seorang penyokong Demokrat sepanjang hidupnya dan dari dinasti Kennedy menegaskan, prinsip hidup menyebabkan beliau membuat keputusan meninggalkan parti itu dan memaksanya memberi sokongan kepada Trump dari parti Republikan.

Beberapa jam selepas mengumumkan sokongan tersebut dalam satu sidang akhbar, Kennedy menyertai Trump dalam satu acara kempen di Arizona, di mana penonton memberi sorakan kepada Kennedy.

"Pencalonannya telah memberi inspirasi kepada jutaan rakyat Amerika dan mengetengahkan isu-isu penting yang telah terlalu lama diabaikan di negara ini," kata Trump tentang Kennedy.

Para strategis berkata adalah tidak jelas sama ada sokongan Kennedy akan membantu Trump, yang sedang dalam pertandingan sengit dengan Naib Presiden Demokrat, Kamala Harris menjelang pilihan raya 5 November depan.

Kennedy memberitahu dalam sidang akhbar sebelum itu bahawa beliau telah bertemu dengan Trump dan pembantunya beberapa kali dan mendapati mereka bersetuju dalam isu-isu seperti keselamatan sempadan, kebebasan bersuara, dan penamatan peperangan.

"Terdapat masih banyak isu dan pendekatan di mana kami mempunyai perbezaan yang serius. Tetapi kami sehaluan dalam isu-isu utama yang lain," katanya kepada pemberita.

Beliau mengulangi banyak perkara itu apabila beliau menyertai Trump di acara rally di Arizona dan mengulangi pendirian mengenai isu-isu utama beliau seperti memerangi penyakit kronik dan membersihkan alam sekitar serta bekalan makanan daripada bahan kimia berbahaya.

Dengan Kennedy di atas pentas, bekas presiden itu berkata bahawa jika beliau kembali ke White House, beliau akan menubuhkan satu suruhanjaya presiden mengenai percubaan pembunuhan dan mendedahkan fail-fail berkaitan pembunuhan Presiden John F. Kennedy pada tahun 1963.

Robert Kennedy, dikenali dengan singkatan RFK Jr, berkata beliau akan menarik nama beliau dari kertas undi di 10 negeri pertarungan yang mungkin menentukan keputusan pilihan raya dan kekal sebagai calon di negeri-negeri lain.

Seorang peguam alam sekitar, aktivis anti-vaksin, dan anak serta anak saudara kepada dua tokoh politik Demokrat yang telah dibunuh pada tahun 1960-an, Kennedy menyertai pilihan raya pada April 2023 sebagai cabaran kepada Presiden Joe Biden untuk pencalonan Demokrat.

Dengan beberapa pengundi pada masa itu yang kurang memberi sokongan dengan Biden yang terlalu berusia ldan Trump yang menghadapi masalah undang-undang, sokongan terhadap Kennedy melonjak.

Beliau kemudian memutuskan untuk bertanding sebagai calon bebas, dan satu tinjauan Reuters/Ipsos pada November 2023 menunjukkan Kennedy mempunyai 20% sokongan dalam pertandingan tiga penjuru dengan Biden dan Trump.

Beliau menyiarkan iklan berprofil tinggi semasa Super Bowl pada bulan Februari lalu yang mengaitkan ayahnya, Senator AS Robert F Kennedy dan bapa saudaranya, Presiden John F Kennedy sekali gus mencetuskan kemarahan dalam kebanyakan ahli keluarganya.
 
Adik perempuannya, Kerry Kennedy berkata, sokongan abangnya terhadap Trump merupakan "pengkhianatan terhadap nilai-nilai yang paling dihargai oleh ayah kita dan keluarga kita. Ini adalah pengakhiran yang menyedihkan bagi cerita yang menyedihkan."

Untuk seketika, kedua-dua kempen Biden dan Trump menunjukkan tanda-tanda mereka bimbang bahawa Kennedy boleh menarik sokongan yang cukup untuk mengubah keputusan pilihan raya.

Namun dengan persaingan yang berubah dengan cepat dalam dua bulan terakhir, dengan Trump terselamat daripada percubaan pembunuhan dan Biden yang berusia 81 tahun akur dengan tekanan daripada partinya sendiri dan menyerahkan tonggak kempen kepada Harris, minat pengundi terhadap Kennedy kian merosot.

Tinjauan Ipsos bulan ini menunjukkan sokongan beliau telah jatuh kepada 4%, satu angka kecil tetapi boleh bermakna dalam perlumbaan sengit seperti pertandingan semasa Trump-Harris.

Parti Demokrat mengambil sikap acuh tak acuh terhadap pengumuman Jumaat tersebut.

"Donald Trump tidak mendapat sokongan yang akan membantu membina sokongan, beliau mewarisi calon bebas yang gagal," kata penasihat kanan Jawatankuasa Nasional Demokrat, Mary Beth Cahill dalam satu kenyataan.

Profesor sains politik Universiti Drexel William Rosenberg berkata langkah ini tidak mungkin memberi kesan kepada pemilihan, memandangkan hasil tinjauan Kennedy yang rendah.

Pakar tinjauan Trump, Tony Fabrizio berpendapat bahawa lebih ramai penyokong Kennedy akan menyokong Trump daripada Harris di negeri-negeri persaingan. "Ini adalah berita baik untuk Presiden Trump dan kempen beliau," tulisnya dalam satu memo.

Sebagai balasan kepada sokongan Kennedy terhadap Trump, Kennedy berharap untuk mendapatkan jawatan dalam pentadbiran Trump, kata satu super PAC yang menyokong Kennedy kepada Reuters pada hari Rabu.

Kennedy meletakkan dirinya sebagai orang luar politik.

Beliau memberitahu Reuters dalam satu temubual pada Mac bahawa jika beliau dipilih sebagai presiden, beliau akan memansuhkan banyak peruntukan Akta Pengurangan Inflasi Biden dan akan berusaha untuk menutup sempadan selatan untuk imigran yang memasuki AS secara haram.

Beliau juga akan terus memberi sokongan terhadap Israel.-REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI