fb fb fb fb fb

Macron gesa gencatan senjata di Gaza

FOTO AFP

PARIS, 9 November- Presiden Perancis, Emmanuel Macron pada Khamis mencadangkan gencatan senjata dilaksanakan di Gaza ketika merasmikan Persidangan untuk mengumpul bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin yang dibom oleh Israel sejak Oktober lalu.

"Dalam jangka masa terdekat, kita perlu berusaha untuk melindungi orang awam. Untuk melakukan itu, kita memerlukan pemberhentian sementara perang bagi bantuan kemanusiaan.

"Kita perlu menyalurkan bantuan kemanusiaan dengan cepat dan berusaha ke arah gencatan senjata", kata Macron kepada perwakilan di sini.

Persidangan berkenaan telah dianjurkan bersama-sama Forum Keamanan Paris pada 10-11 November.

"Matlamat persidangan ini adalah untuk bertemu dengan para penderma utama dan mempercepatkan bantuan ke Gaza," kata kementerian luar Perancis minggu lalu.

Persidangan itu juga akan mengadakan pembahagian bantuan kemanusiaan seperti makanan, bahan api dan bekalan perubatan.

Beberapa negara Arab dijangka menghantar perwakilan, termasuk Palestin yang turut menghantar perdana menterinya, Mahmoud Abas.

Turut dijangka hadir, Perdana menteri Greece, Ireland dan Luxembourg bersama-sama pegawai tertinggi Kesatuan Eropah, Charles Michel dan Ursula von der Leyen.

Pada persidangan itu, Presiden Cyprus Nikos Christodoulides dijangka membentangkan rancangannya untuk koridor laut kemanusiaan ke Gaza, yang menurutnya bertujuan untuk bantuan kemanusiaan yang mampan dan selamat dalam jangka masa segera, sederhana dan panjang.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD