fb fb fb fb fb

Lubnan sedia laksana resolusi PBB, hentikan serangan rentas sempadan Hizbullah

Pertemuan antara Perdana Menteri Lubnan Najib Mikati (kanan) dan Menteri Luar Perancis Catherine Colonna di Beirut/AFP

BEIRUT, 23 Disember- Lubnan bersedia untuk melaksanakan resolusi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bagi membantu usaha menghentikan serangan rentas sempadan Hizbullah terhadap Israel.

Perdana Menteri, Najib Mikati berkata, pihaknya bersedia memberi komitmen penuh jika Tel Aviv juga patuh dan mengundurkan tenteranya dari wilayah yang dipertikai.

Ini selaras dengan Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB yang berjaya menamatkan perang Hizbullah-Israel pada 2006.

Resolusi itu menuntut semua anggota bersenjata berundur dari Sungai Litani di selatan Lubnan, kecuali anggota pengaman PBB dan pasukan keselamatan Lubnan.

"Penyelesaian kepada permusuhan rentas sempadan kini adalah pelaksanaan resolusi antarabangsa termasuk Resolusi 1701, katanya dalam satu kenyataan.

"Wilayah yang dituntut oleh Lubnan yang masih diduduki berikutan pengunduran Israel dari selatan Lubnan pada 2000: Ladang Shebaa yang dipertikaikan, Bukit Kfarshuba dan bahagian Lubnan di perkampungan Ghajar", katanya.

Walaupun Hizbullah berkuasa di kawasan selatan negara itu, Tentera Hizbullah tidak kelihatan di sempadan selatan Lubnan sejak berakhirnya konflik 2006.

Sementara itu, Isnin lalu, Menteri Luar Perancis Catherine Colonna bertemu dengan pegawai kanan di Beirut, sehari selepas melawat Israel dan Tebing Barat yang diduduki, sebagai sebahagian daripada usaha untuk meredakan ketegangan sempadan, manakala Ketua Pentagon Lloyd Austin menggesa Hizbullah untuk mengelak daripada mencetuskan provokasi dan konflik yang lebih meluas.

Sempadan antara Lubnan dan Israel menyaksikan Hizbullah dan Israel saling berbalas tembakan sejak tercetusnya perang Israel-Hamas pada 7 Oktober lalu.

Sejak bermulanya konflik pada Oktober lalu, lebih 140 orang terbunuh di pihak Lubnan, kebanyakannya adalah pejuang Hizbullah, berpuluh-puluh orang awam dan tiga daripadanya melibatkan wartawan.-AFP

ROSLINA BINTI DIN