BRUSSELS, 23 Disember- Suruhanjaya Eropah meluluskan pelan bantuan bernilai €118 juta untuk menyokong Pihak Berkuasa Palestin (PA).
Bantuan itu bertujuan melunaskan pembayaran gaji dan pencen penjawat awam di Tebing Barat. Selain, menyalurkan elaun sosial kepada keluarga terjejas akibat konflik dan bayaran untuk rujukan perubatan ke hospital di Baitulmaqdis Timur.
Presiden Suruhanjaya, Ursula Von Der Leyen berkata, pihaknya bersedia menghulur bantuan jangka panjang kepada PA.
“Kami sedang memikirkan pakej jangka pertengahan yang lebih luas untuk tahun depan untuk menyumbang kepada kestabilan ekonomi dan politik Gaza dan Tebing Barat, apabila keadaan di lapangan mengizinkan, sebagai sebahagian daripada usaha antarabangsa untuk memulihkan penyelesaian dua negara, " katanya dalam satu kenyataan.
EU juga memperuntukkan €125 juta bagi bantuan kemanusiaan penduduk Gaza, tahun depan.
Pesuruhjaya EU Josep Borrell berkata kekurangan makanan telah mencapai tahap yang serius dan tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Ini adalah satu perkembangan yang membimbangkan dan harus menjadi peringatan bagi seluruh dunia untuk bertindak sekarang bagi mencegah malapetaka yang membawa maut kepada manusia,” kata diplomat tertinggi EU.
"Bantuan perlu sampai kepada mereka yang memerlukan melalui semua cara yang diperlukan, termasuk koridor kemanusiaan dan jeda untuk keperluan kemanusiaan",katanya.-REUTERS