BEIRUT, 7 Mac – Bank Dunia menganggarkan kos pemulihan dan pembinaan semula Lubnan sebanyak AS$11 bilion susulan peperangan antara Israel dan Hizbollah, yang berakhir dengan gencatan senjata pada November lalu.
Dalam laporan yang menilai kerosakan dan kerugian dari 8 Oktober hingga 20 Disember 2024, Bank Dunia menyatakan bahawa jumlah keseluruhan kos ekonomi akibat peperangan itu dianggarkan mencecah AS$14 bilion.
Ini merangkumi AS$6.8 bilion kerosakan kepada infrastruktur fizikal serta AS$7.2 bilion kerugian ekonomi akibat penurunan produktiviti, kehilangan hasil dan kos operasi.
Sektor perumahan menjadi yang paling terjejas dengan kerugian dianggarkan sebanyak AS$4.6 bilion, diikuti sektor pelancongan yang mengalami kerugian sebanyak AS$3.6 bilion.
“Kesan konflik ini menyebabkan KDNK sebenar Lubnan menguncup sebanyak 7.1 peratus pada 2024, satu kemerosotan ketara berbanding pertumbuhan 0.9 peratus yang diunjurkan tanpa konflik,” menurut laporan tersebut.
Bank Dunia turut menyatakan bahawa menjelang akhir 2024, penurunan KDNK kumulatif Lubnan sejak 2019 menghampiri 40 peratus, memburukkan lagi krisis ekonomi negara itu.
Lubnan sudah pun bergelut dengan kemelesetan ekonomi sebelum peperangan bermula.
Namun, konflik selama lebih setahun antara Israel dan Hizbollah, termasuk dua bulan peperangan terbuka yang berakhir dengan gencatan senjata pada 27 November, menyebabkan keadaan bertambah buruk.
Serangan tersebut memusnahkan sebahagian besar kubu kuat Hizbollah di selatan dan timur Lubnan serta kawasan selatan pinggir bandar Beirut.
Peperangan itu memberikan tamparan hebat kepada Hizbollah, sekali gus membuka jalan kepada pelantikan presiden dan kerajaan baharu selepas kekosongan kuasa selama dua tahun.-AFP