fb fb fb fb fb

WFP perlukan dana segera untuk elak krisis makanan Rohingya

Foto Reuters

NEW DELHI, 7 Mac – Program Makanan Dunia (WFP) Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) merayu dana segera bagi operasi di Bangladesh susulan defisit pembiayaan yang dijangka menjejaskan bekalan makanan kepada pelarian Rohingya di penempatan terbesar dunia.

Menurut laporan Reuters, PBB dijangka mengurangkan bantuan makanan kepada pelarian Rohingya di Bangladesh daripada AS$12.50 kepada AS$6 sebulan bermula April berikutan kegagalan memperoleh dana mencukupi.

Meskipun WFP tidak mengesahkan sama ada pengurangan tersebut berpunca daripada keputusan pentadbiran Trump untuk memotong bantuan luar negara Amerika Syarikat (AS) secara global, seorang pegawai memberitahu Reuters kemungkinan besar ia berkaitan kerana AS merupakan penyumbang utama dalam krisis Rohingya.

“Pelarian Rohingya di Bangladesh bergantung sepenuhnya kepada bantuan kemanusiaan untuk terus hidup.

"Sebarang pengurangan dalam bantuan makanan akan menolak mereka ke dalam kancah kelaparan yang lebih teruk dan memaksa mereka mengambil langkah terdesak semata-mata untuk bertahan,” kata Pengarah Negara WFP di Bangladesh, Dom Scalpelli, dalam satu kenyataan.

WFP turut memaklumkan pihaknya telah mula berkomunikasi dengan masyarakat Rohingya berhubung kemungkinan pemotongan bekalan makanan.

Bangladesh kini menampung lebih satu juta pelarian Rohingya, golongan minoriti Muslim yang ditindas dan melarikan diri daripada tindakan kekerasan di Myanmar pada 2016 dan 2017.

Mereka kini menghuni kem pelarian yang sesak di daerah Cox’s Bazar dengan akses terhad kepada peluang pekerjaan dan pendidikan.

Menurut laporan Reuters, keadaan kelaparan yang semakin buruk di negeri asal mereka, Rakhine, Myanmar, mendorong sebahagian besar daripada 70,000 Rohingya yang tiba di Bangladesh tahun lalu untuk melarikan diri.

Pemotongan dana pada bulan Mac ini berlaku ketika umat Islam menjalani ibadah Ramadan, dan WFP menganggarkan ia memerlukan AS$15 juta pada April bagi mengekalkan bekalan makanan sepenuhnya.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN