fb fb fb fb fb

Lapangan terbang utama Jerman terjejas mogok 24 jam

Foto Reuters

BERLIN, 7 Mac – Lapangan terbang utama di seluruh Jerman, termasuk Frankfurt akan terjejas oleh mogok selama 24 jam pada Isnin selepas kesatuan sekerja Verdi menggesa pekerja sektor awam dan perkhidmatan pengendalian darat untuk berhenti kerja.

Menurut kenyataan kesatuan itu, mogok berkenaan dilancarkan susulan kegagalan rundingan kolektif pusingan kedua bulan lalu.

Verdi menuntut kenaikan gaji sebanyak 8 peratus atau sekurang-kurangnya peningkatan sebanyak €350 (AS$380) sebulan.

Bagaimanapun, majikan menolak tuntutan tersebut atas alasan ia tidak mampu ditanggung. Rundingan seterusnya dijadualkan bersambung akhir bulan ini.

Antara lapangan terbang yang terjejas termasuk Munich, Stuttgart, Cologne/Bonn, Düsseldorf, Dortmund, Hannover, Bremen, Hamburg, Berlin dan Leipzig-Halle.

Lapangan Terbang Frankfurt dan lapangan terbang di Berlin setakat ini belum memberikan maklum balas terhadap permintaan untuk komen.

Mogok itu menandakan peningkatan ketara dalam rundingan selepas beberapa siri mogok diadakan sebelum ini, termasuk mogok dua hari di Munich bulan lalu.

Menurut Persatuan Lapangan Terbang ADV, mogok terdahulu di Düsseldorf dan Cologne/Bonn menyebabkan hampir 280 penerbangan dibatalkan, menjejaskan kira-kira 48,000 penumpang.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN