fb fb fb fb fb

Lubnan fail aduan kepada Majlis Keselamatan PBB pencerobohan Israel

(FOTO AFP)

AL QULAYLAH, 8 April - Lubnan bercadang untuk membuat aduan rasmi kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) berhubung pencerobohan Israel awal pagi semalam.

Kementerian Luar Lubnan berkata Israel telah melanggar kedaulatan Lubnan dengan mengebom kawasan di selatan Lubnan.

Pemangku Perdana Menteri Lubnan, Najib Azmi Mikati berkata tentera Lubnan dan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) sedang menyiasat insiden tersebut.

Sambil menyifatkan pencerobohan Israel sebagai “satu pencabulan terang-terangan terhadap kedaulatan Lubnan dan Resolusi Majlis Keselamatan PBB 1701 mengancam kestabilan yang dinikmati oleh selatan Lubnan.”

Resolusi Majlis Keselamatan PBB 1701 menggesa penamatan permusuhan serta pengunduran Israel dari selatan Lubnan.

Najib menegaskan Lubnan menolak sebarang peningkatan tindakan ketenteraan dari wilayahnya serta penggunaan wilayah Lubnan untuk operasi yang boleh membawa kepada ketidakstabilan.

(FOTO AFP)

Awal pagi semalam, tentera Israel menyasarkan bahagian selatan Lubnan, beberapa jam selepas menyerang terowong di Gaza.

Serangan dilancarkan kira-kira pukul 4 pagi waktu tempatan.

Ini kali pertama rejim zionis mengesahkan serangan di wilayah Lubnan sejak April 2022.

Israel menyasarkan kedudukan HAMAS di bahagian selatan serta beberapa infrastruktur milik kumpulan pejuang itu.

Terdahulu, rejim zionis membedil dua terowong Khan Yunis dan Beit Hanoun serta dua kilang senjata di Gaza.

Saksi berkata, sekurang-kurangnya dua bom jatuh berhampiran kem pelarian Palestin.

Perkembangan terbaru berlaku selepas tentera Israel menyerbu Dewan Solat Al-Qibli di kompleks Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur yang diduduki dan secara paksa mengusir jemaah Palestin dua malam berturut-turut.-AFP

Media Baharu