fb fb fb fb fb

Lonjakan penyakit pernafasan China tidak setinggi pra-pandemik

Orang ramai berada di luar hospital kanak-kanak di Beijing, China/REUTERS

SHANGHAI, 28 November- Lonjakan penyakit pernafasan dialami di China ketika ini tidak setinggi sebelum wabak COVID-19, kata seorang pegawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mengulangi bahawa tiada patogen baharu atau luar biasa ditemui dalam kes baru-baru ini.

Pemangku pengarah jabatan kesiapsiagaan dan pencegahan wabak dan pandemik WHO Maria Van Kerkhove berkata, peningkatan itu didorong oleh peningkatan bilangan kanak-kanak yang dijangkiti patogen selama dua tahun sekatan COVID-19.

"Kami bertanya tentang perbandingan sebelum wabak itu. Dan gelombang yang mereka lihat sekarang, puncaknya tidak setinggi apa yang mereka lihat pada 2018-2019," kata Van Kerkhove kepada saluran berita kesihatan STAT dalam satu temu bual pada Jumaat.

"Ini bukan petunjuk patogen baru. Kebanyakan negara menangani masalah ini dalam tempoh setahun atau dua tahun lalu," tambahnya.

Jurucakap Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China, Mi Feng berkata, lonjakan penyakit pernafasan akut dikaitkan dengan peredaran serentak beberapa jenis patogen, yang paling ketara ialah influenza.

Peningkatan itu menjadi isu global apabila WHO meminta China untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai laporan radang paru-paru yang tidak didiagnosis pada kanak-kanak oleh Program Pemantauan Penyakit Muncul.

China dan WHO menghadapi ketelusan pelaporan pada awal wabak itu, yang muncul di bandar Wuhan di tengah China pada akhir 2019.

Bagaimanapun WHO berkata, tiada patogen baharu atau luar biasa ditemui dalam penyakit baru-baru ini.

Pegawai kesihatan menggesa pihak berkuasa tempatan untuk menambah bilangan klinik demam berikutan kes dalam kalangan kanak-kanak semakin meningkat.

Ketua doktor di jabatan penyakit berjangkit di Hospital Beijing You'an Li Tongzeng memberitahu akhbar Global Times, kes baharu penyakit pernafasan boleh memuncak dalam beberapa minggu akan datang.

Li turut memberi amaran tentang potensi gelombang kedua memuncak semasa cuti Tahun Baru, kerana warga emas boleh menjadi golongan lebih berisiko dijangkiti.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI