fb fb fb fb fb

Lombong emas haram di Suriname runtuh, ragut 15 nyawa

Foto Hiasan/Fail

PARAMARIBO, 23 November- Pihak berkuasa Suriname mengisytiharkan dua hari tempoh berkabung negara pada bermula Rabu, apabila jumlah korban akibat runtuhan lombong emas haram meningkat kepada 15 orang.

Presiden Suriname, Chan Santokhi dalam perhimpunan negara pada Isnin memaklumkan bahawa tragedi itu berlaku ketika ramai pelombong mencari emas dalam sebuah terowong buatan yang cukup dalam.

Menurut penduduk, 20 hingga 30 pelombong bekerja di dalam lubang yang digali sendiri, terletak di Lombong Emas Rosebel yang dikendalikan oleh anak syarikat China, Zijin Mining.

Lombong itu terletak di daerah Brokopond, kira-kira 100 kilometer di selatan ibu kota Paramaribo.

Pasukan penyelamat Suriname meneruskan usaha pencarian mangsa, mengharap ada mangsa terselamat.

Namun, pasukan penyelamat berdepan kesukaran kerana struktur muka bumi yang tidak stabil dan kemungkinan untuk berlaku lagi runtuhan.

Rosebel Gold Mines dalam satu kenyataan berkata pihaknya kesal dengan tragedi runtuhan berkenaan dan meminta pihak berkuasa mengusir pelombong haram itu.

Kemalangan sedemikian kerap berlaku dalam operasi perlombongan haram, biasa berlaku di beberapa negara di seluruh bahagian utara Amerika Selatan.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM