GAZA, 23 November- Pesawat pejuang Israel terus bertindak kejam, memusnahkan Gaza dalam serangan awal pagi tadi.
Banyak lokasi terjejas hingga menyebabkan banyak kematian dan kecederaan.
Menurut sumber portal WAFA, pesawat perang zionis menyasarkan sebuah rumah di Rafah, selatan Gaza dan telah mencederakan beberapa orang mangsa.
Tambah laporan itu, artileri tentera Israel dilancar hingga mengakibatkan pengeboman dahsyat di bandar Al-Fokhari, timur Khan Yunis manakala di utara Gaza, kawasan projek Beit Lahia diserang dengan sejumlah peluru, peluru berpandu dan bom asap.
Sumber tempatan berkata serangan itu turut menyasarkan Sekolah Khalifa di tengah-tengah projek Beit Lahia, di mana menjadi tempat perlindungan bagi lebih 8,000 orang pelarian.
Sementara itu, Setiausaha Agung Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Hussein al-Sheikh berkata Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dan pimpinan menyambut baik 'perjanjian kebenaran' (gencatan senjata), hasil usaha campur tangan Qatar dan Mesir.
"Presiden Abbas dan kepimpinan mengalu-alukan perjanjian gencatan senjata kemanusiaan. Kami menghargai usaha Qatar-Mesir yang telah dilakukan," katanya dalam catatan yang dibuatnya di X.
“Kami menyeru untuk menghentikan pencerobohan Israel terhadap rakyat Palestin dan membenarkan bantuan kemanusiaan serta pelaksanaan penyelesaian perang Israel-Hamas sekali gus membawa kepada penamatan pendudukan dan rakyat Palestin memperoleh kebebasan mereka," tambahnya.
Lebih 14,500 nyawa rakyat Palestin telah terkorban sejak 7 Oktober lalu.