fb fb fb fb fb

Tiada tebusan akan dibebaskan sebelum Jumaat - Israel

Foto AFP

GAZA, 23 November- Pembebasan tebusan di bawah persetujuan gencatan senjata antara Israel-Hamas tidak akan berlaku sebelum Jumaat, menurut kenyataan oleh penasihat keselamatan negara Israel.

Khabar itu sekali gus menutup harapan saudara mara dan ahli keluarga tebusan yang menanti pembebasan mereka pada hari ini.

Israel dan Hamas pada Rabu bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata di Gaza selama empat hari namun tempoh jeda itu belum diumumkan secara rasmi.

Syarat gencatan yang dipersetujui kedua-dua pihak meliputi pembebasan sekurang-kurangnya 50 tebusan rakyat Israel dengan pertukaran 150 rakyat Palestin (wanita dan kanak-kanak) yang dipenjarakan serta kebenaran masuk bantuan kemanusiaan.

“Rundingan mengenai pembebasan tebusan kami sedang berjalan dan berterusan.

"Permulaan pembebasan akan berlaku mengikut perjanjian asal dan bukan sebelum Jumaat,” kata Penasihat Keselamatan Negara Israel, Tzachi Hanegbi dalam satu kenyataan.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu turut menawarkan tempoh pelanjutan gencatan senjata itu, dengan pembebasan 10 tebusan rakyatnya untuk satu hari.

Selain itu, Palang Merah akan dapat melawat mana-mana tebusan yang masih ada di Gaza.

Hamas turut meletakkan syarat lain yang perlu disusuli iaitu kebenaran masuk ratusan trak bekalan kemanusiaan, perubatan dan bahan api ke Gaza dan larangan penerbangan ruang udara, enam jam di utara.

Perjanjian gencatan senjata itu adalah yang pertama sejak perang selama hampir tujuh minggu, dicapai selepas pengantaraan oleh Qatar.

Seluruh dunia melihat usaha itu berpotensi meringankan penderitaan orang awam di Gaza.

Pejuang Hamas pada 7 Oktober melancarkan serangan terburuk dalam sejarah Israel atau dikenali Taufan Al-Aqsa, membunuh kira-kira 1,200 orang, kebanyakannya orang awam dan menahan kira-kira 240 tebusan.

Israel kemudian menyerang balas dengan pengeboman besar-besaran dan serangan darat yang mengakibatkan lebih daripada 14,000 penduduk Gaza telah terbunuh, kira-kira 40% daripadanya ialah kanak-kanak.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM