MANILA, 22 November- Sekurang-kurangnya seorang terbunuh dan puluhan ribu lain terpaksa meninggalkan rumah mereka selepas hujan lebat mengakibatkan banjir di seluruh Filipina tengah.
Pasukan penyelamat menggunakan bot dan tali untuk membantu mangsa yang terperangkap di rumah mereka di Samar Utara, salah satu wilayah paling teruk dilanda banjir, di mana kampung dan pekan ditenggelami air selepas hujan selama seminggu.
Ibu kota wilayah Catarman menerima hujan lebih sebulan dalam tempoh 24 jam hingga pagi semalam, dengan air berlumpur menjadikan jalan menjadi sungai dan membanjiri pusat beli-belah, rumah dan bangunan komersial.
"Hujan bulanan di Catarman adalah sekitar 450 milimeter (mm) tetapi semalam sebanyak 619 mm," kata peramal cuaca negeri Benison Estareja kepada AFP.
Menurut agensi bencana negara, lebih 43,000 orang terpaksa meninggalkan rumah mereka sementara menunggu air surut.
Ketua bencana tempatan, Pedro Balanquit, berkata seorang wanita maut di Pambujan, Samar Utara selepas dihempap pokok ketika tanah runtuh.
"Sungai-sungai masih melimpah... kerana air dari pergunungan mengalir ke sana.
"Banjir mencecah puncak rumah dua tingkat," katanya.
Filipina mengalami kira-kira 20 ribut besar setahun dan disenaraikan antara negara yang paling terdedah kepada kesan perubahan iklim. - AFP