fb fb fb fb fb

Lithuania gantung operasi penerbangan di Vilnius gara-gara belon udara panas

Tangkap layar pergerakan penerbangan di ruang udara Vilnius yang menyaksikan pesawat dilencongkan berikutan kemungkinan kehadiran belon udara panas

VILNIUS, 5 Oktober - Lithuania menggantung sementara semua operasi penerbangan di Lapangan Terbang Vilnius malam Sabtu berikutan laporan mengenai kemungkinan kehadiran beberapa belon udara panas di ruang udaranya. Menurut penyiar awam LRT dan agensi berita BNS, langkah itu diambil sebagai langkah keselamatan selepas pengawal trafik udara mengesan objek berkemungkinan belon berada berhampiran laluan penerbangan utama.

Data daripada laman penjejak penerbangan FlightRadar24 menunjukkan beberapa pesawat yang dijadual mendarat di Vilnius telah dialihkan ke lapangan terbang lain, termasuk di Latvia dan Poland. Sebuah pesawat dari Copenhagen dilaporkan terpaksa berpatah balik ke Denmark selepas ruang udara Lithuania ditutup.

Pihak pengurusan lapangan terbang memaklumkan penutupan itu bersifat sementara dan dijangka berakhir sekitar pukul 4.50 pagi waktu tempatan. Sementara itu, semua penerbangan berlepas pada malam kejadian turut dibatalkan bagi memastikan keselamatan penumpang dan anak kapal terjamin.

Menurut laporan Reuters, Lithuania sebelum ini telah mengisytiharkan zon larangan terbang sejauh 90 kilometer di sepanjang sempadannya dengan Belarus sebagai langkah berjaga-jaga terhadap sebarang bentuk pencerobohan udara menggunakan dron atau objek tidak dikenali. Negara itu turut mengambil pendekatan berhati-hati memandangkan ketegangan geopolitik di rantau berkenaan semakin meningkat, khususnya selepas Lithuania menunjukkan sokongan kuat terhadap Ukraine dalam konflik dengan Rusia.

Insiden terbaru itu berlaku ketika beberapa lapangan terbang utama di Eropah turut berdepan gangguan serupa, termasuk laporan objek udara tidak dikenali yang mengganggu operasi penerbangan di Copenhagen dan Munich dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE