PORTLAND, 4 Oktober – Hakim Persekutuan Amerika Syarikat mengeluarkan perintah sementara yang menghalang Presiden Donald Trump daripada menghantar 200 anggota Pengawal Kebangsaan Oregon ke bandar Portland, sementara tuntutan mahkamah mencabar langkah itu dibicarakan.
Keputusan Hakim Daerah Amerika Syarikat (AS) Karin Immergut di Portland dilihat sebagai satu tamparan kepada Trump yang berhasrat menghantar tentera ke bandar-bandar yang didakwanya tidak terkawal, walaupun dibantah pemimpin Demokrat tempatan.
Hakim Immergut memutuskan untuk menyekat penghantaran tentera hingga 18 Oktober dan menyatakan tiada bukti bahawa protes baru-baru ini mencapai tahap pemberontakan atau menganggu tugas polis.
Trump menyifatkan Portland sebagai bandar yang dilanda peperangan. Bagaimanapun, Peguam Negara Oregon menegaskan protes tersebut situ kecil dan aman dengan hanya 25 tangkapan direkodkan pada pertengahan Jun dan tiada tangkapan sejak 19 Jun.
Sementara itu, White House dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah.
Pada Sabtu malam, penunjuk perasaan berhimpun di hadapan ibu pejabat Imigresen dan Penguatkuasaan Kastam (ICE) di South Portland dan disuraikan pihak berkuasa.
Pada 28 September, Peguam Negara Oregon Dan Rayfield, memfailkan tuntutan mahkamah menentang penghantaran tentera Trump, mendakwa ia tidak sah dan dibuat berdasarkan ancaman protes yang dibesar-besarkan.
Tuntutan itu juga menyatakan keputusan Trump dipengaruhi oleh klip video protes besar di Portland pada 2020 yang disiarkan Fox News.-REUTERS