TBILISI, 4 Oktober - Polis Georgia melepaskan gas pemedih mata dan meriam air bagi menyuraikan penunjuk perasaan antikerajaan yang cuba menceroboh istana presiden selepas keputusan pilihan raya tempatan memihak kepada parti pemerintah, Georgian Dream.
Insiden tegang itu berlaku ketika puluhan ribu rakyat membanjiri Dataran Kebebasan di ibu kota Tbilisi sebagai tanda bantahan terhadap keputusan pilihan raya yang didakwa tidak telus serta menuntut demokrasi dikembalikan kepada rakyat.
Krisis politik di negara itu turut mendapat perhatian Kesatuan Eropah (EU) yang sebelum ini mengenakan sekatan terhadap beberapa pegawai parti Georgian Dream susulan tindakan keras mereka terhadap penunjuk perasaan.
Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat memaklumkan parti pemerintah itu memenangi majoriti besar di semua majlis perbandaran dengan lebih 80 peratus undi, manakala calon mereka turut menguasai semua kerusi datuk bandar utama.
Sebelum perhimpunan itu, pihak berkuasa memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang disifatkan cuba mencetuskan ‘revolusi’.
Penunjuk perasaan membawa bendera Georgia dan EU sambil melaungkan slogan “kuasa milik rakyat” serta menuduh kerajaan sedia ada sebagai tidak sah dan pro-Moscow.
Bagaimanapun, kekecohan tercetus apabila peserta demonstrasi berarak menuju ke istana presiden dan cuba memasuki kawasan berkenaan sebelum disuraikan dengan gas pemedih mata dan meriam air.
Beberapa penunjuk perasaan dilaporkan cedera dan ditahan termasuk penyanyi opera terkenal yang juga aktivis, Paata Burchuladze, selepas disahkan mengalami serangan jantung ketika menyertai himpunan tersebut.
Perdana Menteri Irakli Kobakhidze menuduh penunjuk perasaan terlibat dalam “cubaan rampasan kuasa” yang dirancang oleh perisikan asing, namun tidak memberikan sebarang bukti.
Beliau turut menyalahkan pegawai EU kerana “menyokong cubaan menggulingkan kerajaan” dan menuntut duta EU supaya mengutuk kekacauan itu.
Menurut Kementerian Dalam Negeri, lima pemimpin protes termasuk Burchuladze ditahan dan disiasat atas tuduhan cuba menggulingkan kerajaan dengan hukuman maksimum sembilan tahun penjara.
Sementara itu, bekas Presiden Mikheil Saakashvili yang kini dipenjarakan menyeru rakyat untuk terus bangkit menentang penyelewengan kerajaan dengan menyifatkan ia sebagai peluang terakhir menyelamatkan demokrasi Georgia.
“Jika kita berdiam diri, lebih ramai akan ditahan dan negara akan tenggelam dalam keputusasaan,” katanya.
EU turut memberi amaran akan menggantung kemudahan perjalanan tanpa visa kepada rakyat Georgia sekiranya kerajaan gagal menegakkan kedaulatan undang-undang serta melindungi hak asasi manusia. - AFP