CHICAGO, 5 Oktober - Puluhan penunjuk perasaan bertembung dengan agensi penguat kuasa imigresen persekutuan di barat daya Chicago pada Sabtu, susulan insiden seorang wanita bersenjata ditembak oleh anggota U.S. Border Patrol (CBP), menurut kenyataan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS).
Jurucakap DHS dalam satu kenyataan memaklumkan, kejadian berlaku apabila kumpulan yang disertai wanita berkenaan melanggar beberapa kenderaan milik Agensi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE). Anggota CBP yang membantu operasi bersepadu bersama ICE kemudiannya melepaskan tembakan sebagai tindakan mempertahankan diri.
Tiada anggota penguat kuasa dilaporkan cedera parah dalam insiden itu. Wanita terbabit, yang merupakan warga Amerika Syarikat, memandu sendiri ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Identitinya bagaimanapun tidak didedahkan dan keadaan semasanya belum diketahui.
Berikutan kejadian tersebut, suasana di lokasi menjadi tegang apabila penunjuk perasaan mula berhadapan secara langsung dengan ejen imigresen persekutuan. Pegawai ICE dilaporkan terpaksa melepaskan semburan lada dan peluru getah bagi mengawal keadaan yang semakin tidak terkawal.
Gabenor Illinois, JB Pritzker, yang mewakili parti Demokrat, berkata beliau menerima tekanan daripada Presiden Donald Trump supaya mengerahkan anggota National Guard negeri bagi membantu pihak persekutuan mengawal keadaan. Trump kemudiannya meluluskan penyertaan kira-kira 300 anggota National Guard ke Chicago bagi melindungi aset kerajaan persekutuan, langkah yang mencetuskan kritikan daripada pentadbiran negeri serta kumpulan hak asasi manusia.
Kawasan Brighton Park, tempat kejadian berlaku, merupakan lokasi protes berterusan sejak beberapa minggu lalu membantah peningkatan kehadiran agensi persekutuan dalam operasi imigresen di Chicago. Penduduk dan aktivis mendakwa pihak berkuasa menggunakan kekerasan berlebihan terhadap migran serta penunjuk perasaan aman.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, beberapa rakaman tular menunjukkan pegawai ICE menggunakan gas pemedih mata dan peluru lada terhadap orang awam dan wartawan semasa operasi di Chicago dan kawasan sekitar.
Menurut media tempatan, tindakan keras itu adalah sebahagian daripada operasi berskala besar dikenali sebagai “Operation Midway Blitz”, yang dilancarkan sejak September bagi mempertingkat penguatkuasaan imigresen di bandar-bandar utama Amerika Syarikat.-REUTERS