BEIRUT, 25 Oktober- Menteri Pengangkutan Lubnan mengesahkan bahawa satu lagi lintasan sempadan antara Lubnan dan Syria telah terhenti operasinya pada Jumaat selepas serangan udara Israel.
Keadaan itu menyebabkan hanya satu lintasan utama rasmi yang masih berfungsi antara kedua-dua negara tersebut.
“Lintasan Qaa kini tidak dapat beroperasi selepas serangan Israel di wilayah Syria,” kata Ali Hamieh kepada AFP, sambil menambah bahawa serangan itu menghalang laluan kenderaan.
Pada 4 Oktober lalu, Israel telah menyerang Lintasan Masnaa iaitu lintasan antarabangsa utama antara Lubnan dan Syria yang mengakibatkan kerosakan pada jalan tersebut dan telah menghentikan operasinya.
Pemantau Hak Asasi Manusia melaporkan bahawa serangan tersebut menghalang orang awam daripada melarikan diri dan menyukarkan operasi bantuan.
Israel menyatakan serangan udara itu bertujuan untuk menghalang penghantaran senjata dari Syria ke Hezbollah di Lubnan, termasuk menyasarkan terowong bawah tanah yang didakwa digunakan untuk mengangkut senjata dari Iran.
Lintasan tersebut telah berulang kali diserang dan menyebabkan pihak berkuasa Lubnan tidak dapat membaiki kerosakan yang berlaku.
Satu lagi serangan udara Israel telah menyerang kawasan Syria di lintasan Qaa, sekitar 90 kilometer timur laut lintasan Masnaa, pada 26 September lalu.
Walaupun lintasan berkenaan musnah, ramai penduduk yang masih melarikan diri ke Syria dengan berjalan kaki.
Menurut data rasmi, hampir 500,000 orang, terutamanya warga Lubnan, telah melarikan diri ke Syria selepas Israel melancarkan kempen udara yang hebat, terutamanya di kawasan-kawasan yang diduduki Hezbollah, sejak akhir September.
Peningkatan konflik tersebut berlaku selepas hampir setahun pertempuran berskala kecil di sempadan dengan Hezbollah yang menyatakan sokongannya kepada pejuang Palestin, Hamas, dalam perang di Gaza.
Sejak itu, serangan Israel di Lubnan telah mengorbankan sekurang-kurangnya 1,580 orang, menurut kiraan AFP berdasarkan data Kementerian Kesihatan Lubnan.-AFP
Peperangan ini telah menyebabkan lebih sejuta orang kehilangan tempat tinggal, menurut pegawai Lebanon.-AFP