LONDON, 25 Oktober-Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken, bertemu Perdana Menteri Lubnan, Najib Mikati, pada Jumaat untuk membincangkan serangan Israel ke atas Lubnan selain mendesak Beirut agar mengambil tindakan tegas terhadap Hizbullah.
Blinken, yang dalam perjalanan pulang selepas lawatan ke Asia Barat, bertemu Mikati di London selepas Perdana Menteri itu menghadiri sebuah persidangan mengenai Lubnan di Paris, sehari sebelumnya.
Sebagai sekutu politik dan ketenteraan utama Israel, Amerika Syarikat (AS) tidak secara rasmi menyeru gencatan senjata segera dalam sebulan serangan Israel di Lubnan yang menyasarkan kumpulan Hizbullah yang disokong Iran.
Namun, Blinken menekankan perlunya penyelesaian diplomatik yang pantas.
“Kami telah sangat jelas bahawa ini tidak boleh dan tidak seharusnya menjadi kempen perang yang berpanjangan, dan Israel mesti mengambil langkah-langkah perlu untuk mengelakkan korban awam serta tidak membahayakan pasukan pengaman PBB atau Tentera Bersenjata Lubnan,” kata Blinken pada Khamis di Doha.
AS telah menyeru kerajaan Lubnan yang sering bergelut untuk mengambil alih tanggungjawab keselamatan dan mendesak perlucutan senjata Hizbullah.
Hizbullah telah melancarkan serangan peluru berpandu ke Israel sebagai solidariti terhadap Hamas sejak serangan pada 7 Oktober tahun lalu.
Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin, dalam perbualan dengan rakan sejawatannya dari Israel, Yoav Gallant, pada hari Rabu menyatakan kebimbangan terhadap serangan Israel ke atas tentera Lubnan yang telah mengorbankan sekurang-kurangnya 11 anggota tentera Lubnan, berdasarkan kenyataan tentera.-AFP