fb fb fb fb fb

Korea Selatan desak Rusia hentikan 'kerjasama haram' dengan Korea Utara

Foto REUTERS

SEOUL, 25 Oktober-Korea Selatan pada Jumaat menyuarakan “kebimbangan dan menggesa Rusia untuk menghentikan kerjasama haramnya dengan Pyongyang selepas Moscow bersedia untuk meratifikasi perjanjian pertahanan dengan Korea Utara.

Parlimen Rusia pada Khamis sebulat suara meluluskan perjanjian pertahanan dengan Korea Utara, yang memperuntukkan "bantuan bersama" jika mana-mana pihak menghadapi serangan.

Perjanjian tersebut akan dibawa ke Majlis Persekutuan untuk kelulusan lanjut.

Korea Selatan dan Amerika Syarikat mendakwa ribuan tentera Korea Utara sedang menjalani latihan di Rusia, manakala Ukraine turut mendakwa bahawa tentera Korea Utara telah berada di medan perang di wilayah sempadan Kursk di Rusia.

“Korea Selatan menyuarakan kebimbangan serius berhubung ratifikasi perjanjian Rusia-Korea Utara dan penempatan tentera Korea Utara ke Rusia,” kata Kementerian Luar Korea Selatan dalam satu kenyataan, sambil mendesak “penarikan segera tentera Korea Utara dan pemberhentian kerjasama berkenaan.

Korea Selatan menegaskan ia akan bekerjasama dengan sekutunya untuk “mengambil langkah sewajarnya” berhubung situasi tersebut.

Korea Selatan turut menyatakan kesediaan untuk mengkaji semula dasar lama yang menghalangnya daripada menghantar senjata secara langsung kepada Kyiv.

Seoul dan Washington sebelum ini mendakwa bahawa Korea Utara telah lama menghantar senjata ke Rusia dalam skala yang besar.

Namun wakil Korea Utara di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menafikan tuduhan tersebut, menyifatkannya sebagai tidak berasas.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD