fb fb fb fb fb

Serangan TAI: Parti Pekerja Kurdish (PKK) mengaku bertanggungjawab

Foto REUTERS

ISTANBUL, 25 Oktober-Parti Pekerja Kurdish (PKK) mengaku bertanggungjawab ke atas serangan terhadap syarikat pertahanan Turkish Aerospace Industries (TAI) yang mengorbankan lima nyawa.

Pihak berkuasa Turkiye menyatakan bahawa pelaku serangan telah menyusup masuk dari Syria dan melancarkan serangan dengan tembakan serta serangan bunuh diri.

Kerajaan Turkiye menyatakan ia memiliki bukti bahawa PKK dalang di sebalik serangan pada Rabu.

Serangan itu dikatakan dilaksanakan oleh dua anggota PKK, seorang lelaki dan seorang wanita, dan telah dirancang sejak lama, menurut kenyataan kumpulan itu di Telegram.

PKK, yang telah melancarkan pemberontakan berlarutan terhadap kerajaan Turkiye sejak 1984, dilabelkan sebagai kumpulan pengganas oleh Turkiye dan sekutunya di barat.

Sejak 2015, kerajaan pimpinan Presiden Recep Tayyip Erdogan bersama gabungannya, MHP, terus menekan kumpulan pemberontak Kurdish ini.

Pada Selasa, pemimpin MHP mengejutkan ramai pihak dengan menawarkan perdamaian kepada pemimpin PKK yang dipenjarakan, Abdullah Ocalan, dengan cadangan beliau hadir ke parlimen untuk mengumumkan penarikan PKK daripada keganasan.

Ocalan, yang telah ditahan sejak 1999, menerima lawatan keluarga buat pertama kali sejak 2020, seperti disahkan oleh Omer Ocalan, wakil rakyat dari Parti Demokratik Kurdi (DEM).

Terdapat spekulasi bahawa Ocalan mungkin mengarahkan PKK untuk meletakkan senjata, sebagaimana yang pernah dinyatakannya dalam surat pada tahun 2013.

Namun, lawatan tersebut baru sahaja berakhir apabila serangan di Ankara berlaku. Susulan itu, Erdogan menegaskan bahawa Turkeye tidak akan berkompromi dalam memerangi PKK.

Beliau menyatakan bahawa kempen pengeboman telah memberi harga yang amat berat kepada pengganas.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD