GAZA, 26 Ogos – Sekurang-kurangnya 20 orang, termasuk lima wartawan, terbunuh apabila serangan udara Israel mengenai Hospital Nasser di Khan Yunis, selatan Gaza pada Isnin.
Jurucakap Mahmud Bassal berkata serangan tersebut turut meragut nyawa seorang anggota pertahanan awam. Beliau mendakwa sebuah dron letupan Israel mengenai bangunan di hospital itu, sebelum serangan udara kedua dilancarkan ketika mangsa yang cedera sedang dipindahkan.
Agensi berita antarabangsa termasuk Reuters, Associated Press (AP) dan Al Jazeera mengesahkan kehilangan petugas mereka dalam insiden itu.
Tentera Israel menegaskan pihaknya tidak menyasarkan wartawan secara khusus.
Benjamin Netanyahu dalam pada itu menyifatkan insiden tersebut sebagai “kemalangan tragis” dan kononnya menyatakan “penyesalan mendalam” atas kehilangan nyawa di hospital berkenaan.
Wartawan yang terbunuh dikenal pasti termasuk Hussam al-Masri (Reuters), Mohammad Salama (Al Jazeera), Mariam Dagga (AP), serta dua lagi wartawan tempatan, Moaz Abu Taha dan Ahmad Abu Aziz. Kemudian pada hari sama, wartawan Hassan Douhan turut disahkan terbunuh akibat tembakan Israel di kawasan Al-Mawasi.
Kecaman dilontarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), persatuan media antarabangsa, kumpulan hak asasi serta rangkaian penyiaran global yang menyifatkan tindakan Israel sebagai cubaan sistematik membungkam suara wartawan di Gaza.-REUTERS